Ahad, 7 Ogos 2016

Shafie ibarat 'nakhoda kapal hilang kompas'

SINAR HARIAN
Shafie Afdal
Shafie Afdal


KOTA KINABALU - Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diibaratkan seperti 'nahkoda kapal kehilangan kompas' kerana tidak tahu haluan politiknya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu, Mohd Bahrin Abd Karim berkata, sejak mengumumkan keluar daripada Umno, pendirian politik Mohd Shafie tidak konsisten, malah kini bersekongkol dengan pembangkang yang pernah dikritiknya dahulu.

"Dia (Shafie) menjaja slogan Sabah untuk orang Sabah, tetapi belum lagi memilih parti mana untuk dijadikan landasan.

"Jika benar dia mahu berjuang untuk Sabah, bermakna dia bukan sehaluan dengan konco-konconya seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya ketika ditemui
selepas perasmian mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kota Kinabalu hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Bahrin mengingatkan rakyat negeri ini supaya berhati-hati dan berwaspada dengan taktik politik Mohd Shafie kerana matlamat utama beliau adalah untuk perjuangan politiknya sahaja.

Beliau berkata, sepanjang Mohd Shafie dalam kabinet Persekutuan, tidak banyak perubahan dan kemajuan dibawanya untuk negeri ini.

"Masih ramai penduduk luar bandar tidak menikmati kemudahan yang sepatutnya disalurkan semasa dia menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah seperti bekalan elektrik, air dan perumahan luar bandar," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Bahrin turut menjelaskan bahawa Mohd Shafie bukan pelopor atau antara pemimpin yang bertanggungjawab membawa Umno ke negeri ini seperti dakwaan pelbagai pihak.

"Dalam rekod, namanya tidak tersenarai sebagai ketua penaja di mana-mana bahagian. Sepanjang menjadi Naib Presiden Umno pun, Mohd Shafie hanya sekali-sekala menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Sabah.

"Ini menunjukkan sikap ego beliau yang melihat kita di Sabah mungkin rendah statusnya berbanding dia sebagai Naib Presiden Umno ketika itu," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: