Isnin, 29 Ogos 2016

Peserta kayuhan meninggal dunia

Peserta kayuhan meninggal dunia
Allahyarham Muhamad Zukhi. -Foto Facebook Romeo Bravo
 
 
BAGAN DATOH - Seorang peserta program Bagan Datoh Merdeka Mountain Bike Challenge, meninggal dunia ketika mengayuh basikal berhampiran Jalan Baru Kampung Tebuk Semani, pagi tadi.

Mangsa Muhamad Zukhi Zakaria, 58, dari No 10. Lorong Berembang Dua, RPA Simpang Empat, Perlis dikatakan terbabas ketika menghampiri check point ketiga pertandingan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad dalam satu kenyataan berkata, mangsa sedang mengayuh basikal daripada garisan permulaan.

"Mangsa kemudiannya terbabas sendiri ketika berada dari jarak dua kilometer sebelum check point ketiga kayuhan berkenaan.

"Muhamad Zukhi dikatakan telah mengayuh basikal selama dua jam 15 minit dengan jarak lebih kurang 27 kilometer daripada jarak keseluruhan kayuhan," katanya.

Difahamkan semua peserta program Bagan Datoh Merdeka Mountain Bike Challenge perlu menghabiskan kayuhan sejauh 53 kilometer.

Menurut Wan Hassan, waris mangsa sudah dihubungi dan dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.


Tiada ulasan: