Khamis, 25 Ogos 2016

Kongres Pemuda Islam tubuh Dewan Pemuda PAS

HARAKAHDAILY 



Kongres Pemuda Islam Berjaya Tubuhkan Dewan Pemuda PAS (25 Ogos 1953)


PADA hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menganjurkan satu Kongres Pemuda Islam Se-Malaya di Madrasah al-Ulum as-Syar'iyyah, Bagan Datoh, Perak yang menghimpunan para pemuda Islam dari seluruh Tanah Melayu.

Kongres Pemuda Islam yang dihadiri oleh wakil-wakil Cawangan PAS seramai hampir 300 orang telah meluluskan Peraturan Dewan Pemuda PAS, sekali gus menubuhkan Dewan Pemuda PAS. Dalam kongres ini juga, seorang tokoh ulamak muda PAS, Ustaz Othman Abdullah dari Hilir Perak dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama.

Kemunculan Dewan Pemuda PAS berawal dari keputusan Jawatankuasa Kerja PAS satu usul untuk menubuhkan Dewan Pemuda Islam pada 3 April 1952 dan melantik Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah sebagai ketuanya.

Pada 3 Januari 1953, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama telah meluluskan usul supaya Dewan Pemuda PAS sebagai sebuah sayap PAS bersama Dewan Ulamak PAS dan Dewan Muslimat PAS untuk menggerakkan perjuangan kemerdekaan. Hasilnya, pada 17 Mei 1953, Jawatankuasa Tadbir (Harian) PAS telah membincangkan persiapan untuk menganjurkan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya bagi menubuhkan Dewan Pemuda PAS, sekali gus menggubal draf Peraturan Dewan Pemuda PAS.

Pada 8 Julai 1953, Jawatankuasa Tadbir PAS menetapkan supaya kongres ini diadakan pada 29 Ogos 1953, tetapi diawalkan kepada 25 Ogos 1953 mengikuti tarikh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953. Jawatankuasa Kerja Agung PAS kemudiannya meluluskan perlaksanaan kongres ini dan juga Peraturan Dewan Pemuda PAS pada 26 Julai 1953.

Kongres Pemuda Islam Se-Malaya yang berlangsung pada 25 Ogos 1953 ini dibuka oleh Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan memutuskan dua perkara; i) mengesahkan Peraturan Dewan Pemuda PAS dan ii) melantik Pegawai-pegawai Dewan Pemuda PAS untuk sesi 1953-1954 yang terdiri daripada seorang Ketua, seorang Wakil Ketua, seorang Setiausaha dan tujuh orang Ahli Jawatankuasa Kerja.

Akhirnya, seperti yang dirancang, Ustaz Othman Abdullah, Setiausaha PAS Cawangan Hilir Perak, telah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS.

Beliau yang berkelulusan syariah dari Universitas Muhammadiyah, Padang merupakan pegawai yang berpangkat kapten dalam Hizbullah, sayap tentera Masyumi di Indonesia.

Setelah pulang ke Tanah Melayu, beliau menyertai Umno dan pernah menjadi guru agama di Hilir Perak dan Sabak Bernam. Beliau terkenal pidatonya yang lantang dan mempunyai daya kepemimpinan yang baik.

Peraturan Dewan Pemuda PAS 1953 yang diluluskan oleh Kongres Pemuda Islam Se-Malaya telah menetapkan penubuhan Dewan Pemuda PAS sebagai sayap pemuda bagi PAS. Ia juga menggariskan empat tujuan penubuhan Dewan Pemuda PAS, iaitu:

I. Mengelola dan menjalankan di  Tanah Melayu ini sebuah badan pemuda Islam bagi melaksanakan segala tuntutan Islam dan siasah berdasarkan demokrasi;

II. Menggalakkan perhubungan serta mengeratkan persaudaraan dalam Islam dan menghapuskan perbalahan dan perasaan berpuak dan menjauhkan perkara-perkara yang memecahkan perpaduan umat Islam dan menjatuhkan mutu kemuliaan Islam;

III. Menanam dan menghidupkan jiwa ke-Islaman serta mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam erti kata yang sebenarnya dalam penghidupan sehari-hari; dan

IV. Amnya, menghasilkan, melaksanakan dan menjalankan segala tuntutan dan kehendak-kehendak PAS.

Dengan terlaksananya Kongres Pemuda Islam Se-Malaya ini, maka tertubuhlah Dewan Pemuda PAS sebagai dewan yang pertama wujud secara rasmi, kerana Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat hanya dapat mengadakan kongres penubuhan mereka pada 13 Disember 1957.

*  Mohd Fadli Ghani. Head, House of Resources, Pusat Penyelidikan PAS


Tiada ulasan: