Selasa, 9 Ogos 2016

Kenapa yang buruk diviralkan seolah-olah Puteri gedik? – Mas Ermiyatie

 
 
Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin
 
 
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyatie Samsuddin kesal apabila kesilapan tak disengajakan oleh Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu diviralkan oleh pihak tertentu sedangkan banyak lagi perkara baik yang telah dilakukan tidak dihebohkan.

“Kenapa kesilapan itu diviralkan seolah-olah Puteri UMNO memang suka berbuat demikian supaya dilihat gedik oleh masyarakat khususnya parti pembangkang.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kalau ada yang kata Puteri UMNO Bahagian memang merancang membuat tarian tersebut sedangkan perbuatan itu sebenarnya tidak disengajakan malah Ketua Puteri bahagian tersebut, Wan Salmiah Wan Abd Ghani  telah pun memohon maaf,” katanya.

Mas Ermiyatie ditemui selepas menyaksikan teater di bawah Biro Pembangunan Kreatif Puteri UMNO di Istana Budaya malam tadi sempena sambutan ulang tahun ke 15 penubuhan sayap kiri parti Melayu itu.

Turut hadir, bekas Ketua Puteri UMNO kedua, Datuk Rosnah Mohd. Sirlin dan bekas Ketua Puteri UMNO ketiga, Datuk Noraini Ahmad.

Pada menyuarat UMNO Bahagian Kota Bharu Jumaat lepas, empat orang ahli Puteri UMNO telah membuat tarian gelek di dalam dewan sebelum majlis bermula.

Rakaman yang dipercayai dilakukan oleh ahli UMNO itu kemudiannya telah diviralkan dan  mendapat perhatian di seluruh negara.

Kesannya, pihak parti pembangkang telah mengambil kesempatan mengatakan Puteri UMNO memang sengaja berbuat demikian kerana Puteri bersifat gedik.

“Saya tak tahu sama ada yang merakam video tersebut ahli UMNO atau tidak tetapi kalau bukan ahli UMNO, siapa lagi yang akan datang ke mesyuarat tersebut?

“Bagi saya adalah tidak adil memandang buruk terhadap Puteri UMNO hanya kerana tarian tersebut kerana kami juga sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik seperti membaca Yassin, tahlil, berzanji dan banyak lagi tetapi tidak pula ada pihak yang nak viralkan,” tegasnya.

Tambah Mas Ermiyatie lagi, Puteri UMNO akan berjumpa dengan pucuk pimpinan parti sekiranya diperlukan untuk memberi penerangan.– MalaysiaGazette


Tiada ulasan: