Selasa, 23 Ogos 2016

Jangan kacau kerusi kami, kata PAS

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS terus bertegas untuk tidak memberi laluan kepada mana-mana parti yang mahu meminta kerusi mereka untuk bertanding di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, demikian kata Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad.
 
Ujarnya, parti itu menyambut baik prinsip lawan satu untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN), namun tidak mahu parti lain 'mengacau' kerusi tradisi mereka.
 
"Kita (PAS) belum lagi di tahap untuk mengadakan perbincangan dengan Amanah tapi daripada segi, satu lawan satu kita tidak ada masalah. Tapi janganlah kacau kerusi PAS dan PAS tidak akan kacau kerusi orang lain. 
 
"Kita (PAS) bertindak tegas bahawa kita tidak akan melepaskan mana-mana kerusi kita kepada BERSATU dan juga kepada PAN (Amanah)," katanya kepada Antarapos. 
 
Malah beliau mengingatkan Amanah untuk tidak berebut kerusi dengan parti itu kerana mereka telah pun merampas empat kerusi PAS dengan menubuhkan parti baru.
 
Antara kerusi itu adalah Hulu Klang, Kota Raja, Shah Alam dan Sepang.
 
Iskandar berkata demikian merujuk kenyataan Presiden Parti Pribumi Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa parti itu kini mengintai beberapa kerusi milik PAS dan PKR untuk ditandingi pada PRU14 akan datang.
 
Tegasnya lagi, PAS tidak akan teragak-agak untuk bertanding di kerusi-kerusi milik pembangkang yang lain jika meneruskan niat untuk meletakkan calon di kawasan parti itu.
 
"Kita (PAS) boleh bertanding di kerusi kita dan tidak akan bertanding di kerusi lain sebab dari segi jentera PAS kita berkemampuan untuk bertanding lebih. Sekarang PAS bertanding di 20 kerusi DUN (Selangor) dan 6 kerusi parlimen (Selangor) dan kita berupaya untuk bertanding lebih daripada itu. 
 
"Kita ada jentera hampir di setiap kawasan sebab kita ada struktur di peringkat akar umbi yang kuat. Kita boleh bertanding di semua kerusi kalau kita nak, tapi berdasarkan kepada PRK Sungai Besar perlu ada satu lawan satu," ujar Iskandar.
 
Semalam Pengarah Strategik Amanah Khalid Samad berkata PAS perlu bersedia melepaskan beberapa kerusi miliknya kepada BERSATU dan Amanah pada pilihan raya akan datang.
 
Jelas Khalid, langkah itu penting  bagi menyaksikan perlawanan satu lawan satu dan menjamin kemenangan dikesemua kerusi yang bakal ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH), PAS dan Parti Pribumi, sekaligus menjatuhkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
 

Tiada ulasan: