Isnin, 29 Ogos 2016

BUKU APA KOSNYA SAMPAI RM15 JUTA?

shahbudindotcom


 
 
Sehingga ini enam orang sedang ditahan reman untuk disoal siasat oleh SPRM berhubung penyelewengan dana sebanyak RM15 juta melibatkan sebuah bank berkaitan kerajaan untuk menerbitkan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

Selain pengarah urusan bank berkenaan bersama lima yang lain daripada syarikat penerbitan dan syarikat proksi sudah ditahan reman sejak minggu lalu, pengerusi bank yang merupakan bekas jenderal juga turut disoal siasat.
 
 
 
 
Seiring dengan soal siasat itu, SPRM juga merampas sebuah rumah teres, sebuah Rolls Royce, Ferrari, Toyota dan dua buah motorsikal. Sebelum itu, wang tunai berjumlah RM30 ribu dan enam utas jam tangan berharga RM20 ribu setiap satu juga  dirampas serta beberapa akaun bank bernilai hampir RM10 juta telah dibekukan.

Selain disiasat berhubung penerbitan buku, pengarah urusan dan pengerusi bank berkaitan kerajaan itu juga dipercayai disoal siasat berhubung projek naik taraf sistem perbankan yang bernilai ratusan juta ringgit.

Jika kita mengecilkan skop pencarian, sebenarnya tidaklah sukar mengenalpasti bank, pengarah urusan dan pengerusi yang sedang disoal siasat itu kerana hanya ada beberapa buah bank berkaitan kerajaan saja yang ada di negara ini.
 
 
 
 
Bank terbabit juga sebelum ini pernah menjadi isu nasional sehingga kepada perdebatan di Parlimen berikutan pemberian keistimewaan pinjaman kepada seorang  ahli perniagaan kontroversi.

Disoal siasat berkaitan projek menaik taraf sistem bank mungkin tidak berapa mengejutkan kita, tetapi yang paling menghairankan ialah mengenai penerbitan sebuah buku melibatkan tokoh pemimpin negara yang menelan kos RM15 juta.

Bekas pemimpin negara yang mahu dibukukan kisahnya itu dipercayai pernah memerintah negara suatu ketika dahulu, tetapi anaknya kini masih berada dalam pentadbiran kerajaan.

Buku bagaimana dan seperti apa sehingga menelan kos sampai RM15 juta?

Apakah buku tersebut ditulis dengan tulisan bersalut emas sehingga kosnya begitu mahal?
 
 
 
 
Apakah wang RM15 juta itu benar-benar untuk menerbitkan buku atau ia tidak lebih merupakan suatu komplot terancang untuk menggelapkan wang bank yang kemudian diagih-agihkan sesama sendiri ibarat penyamun membahagi-bahagikan hasil samunan mereka?

Seorang penulis dan penerbit buku yang pro UMNO dan kerajaan secara bergurau memberitahu, jika beliau diberikan RM15 juta, beliau bahkan mampu menulis dan menerbitkan buku mengenai setiap menteri-menteri dalam kabinet yang ada sekarang. 

Harga sebuah buku nampaknya lebih mahal daripada kos buat bangunan lima enam tingkat. 
 
 
 

Tiada ulasan: