Isnin, 8 Ogos 2016

Bukan senang jadi ganti yang pergi


 
Oleh Subky Latif 


TIGA pegawai tinggi yang dinamakan oleh seorang Pemuda Umno berkomplot hendak menggulingkan Perdana Menteri Najib adalah Tan Sri Gani Patail, Tan Sri Dr Zeti Aziz dan Tan Sri Abu Kassim telah pun ada ganti masing-masing.

Mereka digantikan bukanlah justeru aduan kepada polis oleh Pemuda Umno itu tetapi ia sudah diputuskan sebelum itu. Hanya Peguam Negara Gani Patail pergi bukan kerana kehendaknya, tetapi dua lagi Gabenor Bank Negara Dr Zeti dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim memilih untuk tidak menyambung tugas atas pilihan sendiri.

Ketiga-tiga pegawai tinggi itu bukanlah yang dimaksudkan oleh Peguam Negara Amerika sebagai Pegawai Satu Negara dan Pegawai Kedua atau Ketiga Negara yang dikatakan terlibat dalam pencurian duit 1MDB. Mereka itu banyak rendahnya dari kerajaan Amerika sebut itu.

Tetapi ketiga-tiga mereka dicadangkan oleh kerajaan untuk menganggotai Jawatan Penyiasatan khas tentang skandal 1MDB itu ketika ia mula tercetus dulu. Bila kerajaan mencadangkannya tentulah ia datang dari Najib sendiri.

Mereka sudah pun tidak di tempat mereka dulu. Dua daripadanya Zeti dan Abu Kassim menempah nama yang baik di tempat perkhidmatan masing-masing bahkan telah menempah nama yang boleh dilegendakan. Cuma Gani Patail, satu nama masyhur tetapi tidak menjadi kehilangan sangat oleh umum bila dia dipaksa mengosongkan jawatannya. Maka tidaklah menjadi apa-apa cabaran orang yang menggantikannya. Apa pun dia adalah orang yang berjasa besar kepada setiap Perdana Menteri tetapi dikira tragedi bila Perdana Menteri setuju dia ditamatkan khidmat serta-merta.

Apakah dia ada nama dalam menegakkan keadilan adalah suatu yang tentu akan dinilai oleh umum tetapi pada setiap Perdana Menteri dia adalah laksana Hang Tuah kepada Raja Melaka. Tetapi begitulah Raja Melaka, boleh suka kepada yang disukainya dan boleh tidak suka kepada sesiapa sekalipun amat berjasa kepada baginda. Maka pengganti Gani tidak banyak cabaran untuk digantikan.

Tidaklah susah seperti ganti Hang Tuah. Hang Tuah sudah membuat jasa dan kesetiaan yang tiada samanya kepada Raja oleh sesiapa jua. Bagi Hang Tuah, Raja itu mungkin menyamai maksum. Payahlah bagi Hang Jebat untuk menyamai Hang Tuah dan Hang Jebat pun tidak berminat untuk menjadi macam Hang Tuah. Maka orang yang menggantikan Gani tidak ada cabaran. Buat khidmat yang sederhana atau sedikit baik saja, maka orang pun nyatakan positifnya.

Setakat selepas adanya jawatan Peguam Negara itu belumlah ada yang boleh dilegendakan. Setakat ini ganti Gani Patail belumlah diminati oleh sesiapa melainkan oleh orang-orang di bawah dagu Perdana Menteri. Akan tetapi Zeti dan Abu Kassim telah meninggalkan haruman yang semerbak kasturi. Sekalipun bau kasturi itu tidak seharum yang digunakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz R.A, tetapi ia sudah cukup harum.

Tidaklah mudah bagi sesiapa yang jadi Gabenor baru Bank Negara untuk menyamai nama dan imej yang ditinggalkan oleh Zeti. Banyak Gabenor Bank Negara sebelum Zeti, tetapi tiada yang dapat menyamai peninggalan Gabenor Tun Ismail Ali. Dan belum gabenor selepasnya diberi Tun. Mungkin Zeti tidak sama dengan Tun Ismail Ali tetapi Zeti adalah orang yang telah menempah nama yang baik di situ.

 Zeti sudah pergi tiada orang yang memberi perhatian kepada gantinya, kerana semuanya bimbang ganti itu terkena wabak gian dedak. Jika ganti Gani sama seperti lain-lain yang kenyang dedak, tiada apa yang menakjubkan gedung Peguam Negara, tetapi orang terasa jika ganti Zeti tidak mampu menyamai had buku lali Zeti.

Bukanlah saya hendak mengangkat Zeti berlebihan tetapi saya sekadar hendak menyatakan susahnya bagi ganti Zeti untuk mendapat kehebatan seperti Zeti.

Demikian juga dengan kerusi dan bilik yang ditinggalkan oleh Abu Kassim. Dia telah membuat kerja yang terbaik. Sekalipun dia menjalani rawatan yang teruk semasa Gani diberhentikan atas alasan kesihatan, tetapi Abu Kassim yang terganggu kesihatannya tidak dihentikan, sebaliknya Gani yang tidak diketahui sakitnya dihentikan.

Abu Kassim hari ini diganti oleh seseorang dari luar SPRM iaitu Tan Sri Zulkifli Ahmad, semua baik dari gedung SPRM dan di luar gedung SPRM memerhatikan apakah gantinya boleh menyamainya atau ia sama dengan had buku lali Abu Kassim.

Bukan Abu Kassim itu malaikat yang tiada sesiapa boleh menyamainya, tetapi zaman orang mabuk dedak sekarang, tidak orang yang dipercayai tidak mabuk dedak melainkan orang itu membuktikan dia tidak mabuk dedak.

Ganti Zeti dan ganti Abu Kassim memang boleh trauma bagi menghadapi bau kasut yang ditinggalkan oleh kedua orang yang boleh satu hari nanti dikira legenda.

Sekarang orang memerhatikan KPN Khalid Abu Bakar, seorang yang dikira handal dan ada watak yang menaik. Tetapi sehebat mana pun Khalid tetapi merasa tercabar untuk menjadi KPN yang sehebat Tun Hanif Omar.

Tun Hanif Omar adalah Ketua Polis Negara yang menempah nama tersendiri. Dia cuti belajar setelah agaknya merasa jenuh berkhidmat. Semasa kerusi KPN ditinggalkannya kerana mengaji undang-undang di England, meletup kes Memali yang mengorbankan 14 jika termasuk as-Syahid Ibrahim Libya.

Tun Hanif pun balik ke Kuala Lumpur untuk mengetahui akan apa yang berlaku. Lepas itu tidak diketahui dia balik meneruskan pengajiannya kerana kerja Ketua Polis Negara itu terpaksa disambung semula.

Ramai KPN selepas Tun Hanif Omar tetapi belum seorang pun yang menjadi Tun. Bukan dia tidak boleh disamainya tetapi khidmatnya yang cemerlang sukar disamai oleh orangorang selepasnya.

Kita mungkin teringat kepada cendekiawan Aminuddin Baki yang menjadi Ketua Penasihat Pelajaran dalam tahun 60-an.

Dia seorang yang kempen bagi orang Melayu menguasai pelajaran yang setinggi dan seramairamainya.

Sejak semasa menuntut dia menjalankan kempen. Setelah tamat universiti, dia memilih untuk mengajar di SITC dekat Tanjung Malim telah melatih guru-guru Melayu. Sedari situ dia jadi Ketua Penasihat Pelajaran. Dia tidak memilih untuk jadi Pegawai PTD. Dia menempah kerusi legenda dalam perkhidmatan.

Justeru perjuangannya adalah besar dan khidmatnya juga cemerlang, setelah dunia ini ditinggalkannya dalam tahun 60-an, sampai hari ini belum ada penasihat pendidikan yang mendapat sanjungan umum seperti yang diberi kepadanya.

Bukan pegawai yang selepasnya tidak baik, tetapi kerana nama dan jasa yang besar yang ditinggalkan, menjadi cabaran yang sukar disaingi oleh orang-orang selepasnya.

Macam Tunku Abdul Rahman Putra. Dia menempah nama besar sebagai pemimpin Umno, Perdana Menteri dan pembentukan Malaysia.

Adalah sukar bagi Perdana Menteri selepas untuk menyaingi kehebatannya. Tun Razak dan Tun Hussein Onn tidak dapat capai kehebatannya. Dr Mahathir mungkin yang terhandal selepasnya.

Maka inilah cabaran yang dihadapi oleh ganti Zeti dan Abu Kassim. Mereka terpaksa berkhidmat kiranya tidak lebih baik daripada yang pergi itu biarlah sumbang dengan sumbangan mereka.

Tiada ulasan: