Selasa, 9 Ogos 2016

BERSATU mahu idea bukan bumiputera, kata presiden

Alyaa Azhar


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini.

Presiden pro-tem itu juga mendedahkan bahawa parti baru berkenaan terbuka kepada semua kaum, tetapi mereka hanya dibenarkan menjadi ahli bersekutu yang tidak boleh bertanding mana-mana jawatan atau mengundi pada pemilihan parti.

Bagaimanapun, Muhyiddin menggesa semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum untuk menyertai BERSATU.

Berikut adalah jawapan beliau pada sidang akhbar itu:

Adakah terdapat keahlian berlainan untuk bumiputera dan bukan bumiputera?
Kami mahu menjadi inklusif. Walaupun (keahlian) mereka (bukan Bumiputera) tidak sama tetapi kita akan memberi mereka pengiktirafan.

Kami mahu mereka mainkan peranan dalam memberi idea, saya fikir mereka mempunyainya (idea). Jadi, kita akan mempunyai ahli biasa dan kita juga akan ada ahli-ahli bersekutu.

Berapa jumlah ahli BERSATU sekarang?
Tak boleh daftar lagi, kalau nak daftar besok kamu mohon.

Saya tahu di sini ada semangat dan jiwa yang sama, tunggu sahaja la. Kita harap bila sudah didaftarkan, seramai mungkin rakyat Malaysia tanpa mengira kaum yang mpunyai semangat juang yang satu, maka eloklah jadi ahli BERSATU.

Ada kata pembentukan parti serpihan (Umno) akan pecahkan rakyat, khususnya orang Melayu?
Itu kenyataan yang biasa kerap dibuat kerana mungkin pihak-pihak tertentu mungkin berasa agak gusar.

Tapi yang penting dalam situasi negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat mempunyai kebijaksanaan utk memberikan sokongan atau tidak memberi sokongan kepada mana-mana parti politik yang ada.

Tidak semestinya dia (BERSATU) menyebabkan perpecahan atau perbalahan kerana tujuan untuk adalah membina sebuah negara Malaysia yang adil, maju dan makmur.

Adakah mana-mana parti politik menyatakan minat untuk bekerjasama?
(Ya), secara tidak rasmi. Saya fikir tak sesuai untuk saya katakan (di sini).

Sebelum penubuhan parti juga kita (sudah) dapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, bukan pendapat kami beberapa orang sahaja.

Ia berdasarkan pandangan, termasuk pandangan beberapa parti politik yang saya rasa positif
dan menggalakkan.

Harap selepas parti didaftar secara sah, maka bolehlah adakan perbincangan lanjut untuk mewujudkan suatu kerjasama politik yang mapan.

Bagaimana sokongan daripada (ahli) Umno?
Saya tak harapkan sokongan dalam Umno sebab mereka ahli Umno. Saya faham kerana kami pun tahu sebagai bekas ahli Umno, ramai di kalangan ahli-ahli parti yang saya kenali itu menunjukkan perasaan yang tidak menggalakkan kepada saf kepimpinan yang ada.

Tetapi mereka tidak bersedia untuk nyatakan secara terbuka. Bagi saya skrg ini kita sudah mengadakan satu ruang baru, sebagai contoh, ini bukan sahaja untuk ahli Umno tetapi (kepada) siapa-siapa sahaja yang mpunyai matlamat yang sama.

Bagaimana pula hubungan kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Kita harap begitu. Bagi saya, kita tidak mampu untuk berjuang bersendirian.

Sebagai parti politik baru, saya fikir kita perlu menjalin hubungan kerjasama yang rapat dengan parti-parti yang lain.

Adakah Tun (Dr Mahathir Mohamad) atau Shafie Apdal dalam organisasi struktur parti?
Dalam struktur kita cadangkan ada jawatan pengerusi, yg paling layak dan sesuai ialah Tun sendiri.

Dan beliau sendiri mempunyai hasrat dan minat untuk membantu apa yang akan diperjuangkan oleh parti.

Parti ini menyokong himpunan BERSIH?
Apa sahaja usaha yang dibuat untuk menyatakan pendirian kita ataupun yang memperjuangkan soal hak dan kebebasan rakyat, seperti isu penyalahgunaan kuasa, dan juga isu rasuah, kita akan bersama-sama dengan mereka.

BERSATU akan lawan BN di Sarawak?
Kita bercakap seluruh Malaysia. Bermakna parti ini bukan parti untuk satu negeri sahaja, meliputi semua negeri.

Tiada ulasan: