Selasa, 23 Ogos 2016

BENARKAH NAJIB TIDAK MAHU SAMA-SEKALI MENGGANGGU PENGGANTINYA?

shahbudindotcom


Berkatalah Najib Razak, satu-satunya Perdana Menteri dalam sejarah Malaysia yang skandal kewangan melibatkan dirinya menjadi sebutan seluruh dunia, banyak perkara lain yang boleh dilakukannya selepas bersara nanti selain mengganggu penggantinya.

Katanya, beliau akan menghabiskan masanya melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan ketika berkuasa kerana kesuntukan masa.

"Bercucuk tanam ke, tengok Manchester main bola ke. Macam-macam kita boleh buat. Boleh pergi ke negara yang belum pernah dilawati.

"Boleh tulis buku. Kenapa saya nak ganggu pengganti saya?" ujar Najib lagi.

Mengapakah Najib awal-awal lagi memberi jaminan tidak mahu mengganggu penggantinya sedangkan beliau tiada perancangan sama sekali untuk berundur dalam masa terdekat ini?

Apakah beliau benar-benar boleh dianggap sebagai seorang yang baik dan budiman dengan pendiriannya itu?

Adakah Najib masih mahu berdiam diri juga jika penggantinya nanti melakukan kesalahan lebih besar sehingga menjadi kecaman masyarakat dan dunia?

Bagaimana pula jika penggantinya selepas PRU 14 nanti bukan daripada UMNO, apakah beliau masih tidak mahu mengganggu juga?

Sebenarnya adalah menjadi hak Najib untuk berpendirian tidak mahu mengganggu sesiapa yang menjadi Perdana Menteri selepas beliau bersara nanti. Tetapi ia juga dalam masa yang sama menunjukkan Najib sangat-sangat sedar tentang wajah dirinya yang sebenar.

Untuk menjadi penegur dan pengkritik kepada sesiapa yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri, seseorang itu mestilah terbukti lebih baik, diterima ramai, diiktiraf masyarakat dan dunia antarabangsa, mempunyai wibawa yang tinggi, bersih serta  tidak terlibat dengan apa-apa skandal yang mencemar dirinya.

Tun Mahathir berani menegur dan mengkritik penggantinya kerana beliau memang seorang pemimpin yang istimewa dan terbukti kepimpinannya di dalam dan luar negara sepanjang 22 tahun berkuasa. Tiada sesiapa dapat menafikan pemikiran dan kehebatannya dalam mentadbir negara.

Sebab itulah beliau berani menegur dan mengkritik sesiapa juga yang dianggapnya melakukan kesalahan serta merugikan negara. Lihatlah apa yang ditegurnya berkaitan Tun Abdullah Badawi dan Najib, semuanya kerana mereka berbuat sesuatu yang tidak wajar dan merugikan negara.

Dengan pelbagai kemelut melibatkan diri, isteri dan anak-anak, skandal kewangan, hutang serta kerosakan negara yang diakibatkan olehnya, kita tentu saja boleh menjangka bahawa Najib pasti akan terus mengunci mulutnya serapat-rapat yang boleh apabila bersara nanti.

Sebagaimana Tun Abdullah Badawi terus berdiam diri selepas bersara kerana bimbang orangramai mengungkit-ungkit kebejatan budak-budak tingkat 4 dalam era kepimpinannya, Najib yang jauh lebih besar "pekungnya", tentunya akan lebih membatukan dirinya.

Sebarang percubaannya untuk menegur dan bersuara, penggantinya pasti akan sentiasa merujuk kepada pelbagai masalah dan kelemahan dalam kepimpinannya dahulu.

Tentu sekali lebih menyakitkan bagi Najib jika penggantinya turut mengungkit-ungkit mengenai skandal 1MDB, hubungannya dengan Jho Low dan wang RM2,600 juta yang pernah berada dalam akaun peribadinya.

Jadi, memang difahami jika Najib siang-siang lagi memberi jaminan tidak mahu menggangu penggantinya. Beliau tidak mahu mengganggu mereka dengan harapan penggantinya juga tidak mengganggu dunia persaraannya dengan mengungkit-ungkit sebarang kesalahannya.

Itu jika penggantinya daripada UMNO juga. Andainya pengisi jawatan Perdana Menteri selepas PRU 14 bukan daripada UMNO, Najib bukan saja tidak mungkin bersuara, malah barangkali juga akan memilih untuk berhijrah ke negara lain.

Bayangkanlah apa nasib Najib jika Perdana Menteri selepas PRU 14 ialah Muhyiddin Yassin, Azmin Ali, Anwar Ibrahim atau sesiapa yang lain daripada Pakatan Harapan?

Di mana beliau dan apa yang bakal dihadapinya?

Barangkali sebelum pun Najib bersuara, tugas utama mereka ialah memburu Najib terlebih dahulu. Najib paling mungkin akan diadili dan diminta menjawab pelbagai isu yang berlaku sepanjang era pentadbirannya.

Maka, bila Najib cuba menunjuk baik tidak mahu mengganggu penggantinya, eloklah kita senyum-senyum saja membacanya.


Tiada ulasan: