Selasa, 16 Ogos 2016

Apa hubungan sebenar antara Najib dan Jho Low, soal Kit Siang

lim kit siang

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti menjelaskan apa hubungan sebenar beliau dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata tindakan itu jauh lebih berguna buat masa ini daripada terus membuang masa menuduh DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

“Atau adakah Najib fikir bahawa skandal 1MDB yang melibatkan beliau itu memelihara hak, kepentingan dan maruah Melayu dan Islam di Malaysia?

“Saya percaya pemimpin dan ahli UMNO peringkat bahagian lebih berminat untuk mengetahui apa sebenarnya hubungan Najib-Jho Low dalam skandal 1MDB berbanding tohmahan Najib kononnya DAP itu anti-Melayu dan anti-Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang menjelaskan, Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia tidak harus terlibat dengan politik perpecahan yang menggunakan sentimen kaum, agama, kebencian dan pembohongan terhadap lawan politik.

Malah, katanya, Najib perlu membuktikan bahawa beliau bukan seperti peserta demonstrasi Baju Merah yang pernah melemparkan duit neraka dan berharap agar DAP ‘mati’ sebelum ini.

“Sebagai pemimpin, beliau mesti menunjukkan sikap yang baik dan boleh dicontohi oleh penyokong-penyokongnya.

“DAP tidak pernah menjadi anti-Melayu dan anti-Islam. Ia sama sekali tidak masuk akal. Kita merupakan parti yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama, bukan sahaja di kalangan ahli dan pemimpin, tetapi juga wakil rakyat,” tegasnya.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Parlimen DAP itu turut mempersoal sama ada Jho Low merupakan dalang di sebalik skandal kewangan 1MDB berikutan namanya tersenarai sebagai defendan dalam saman yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Atau adakah dalangnya Najib memandangkan ‘Malaysian Official 1’ disebut 36 kali dalam dokumen sebanyak 136 halaman tersebut?” soalnya.

Bulan lalu, Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch mengumumkan DOJ memfailkan saman sivil bagi merampas semula aset berkaitan 1MDB yang bernilai lebih AS$1 bilion kerana terlibat dengan pengubahan wang haram.

Selain Jho Low, dokumen itu turut menamakan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, ahli perniagaan dari Malaysia, Tan Kim Loong dan dua pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny. – Roketkini.com


Tiada ulasan: