Isnin, 8 Ogos 2016

Ahmad Said… oh… Ahmad Said


 
Oleh Suhaimi Almaniri


MENJELANG Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang akan berlangsung pada hari ini 8 Ogos , perhatian pemerhati politik dan media mula tertumpu kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said yang belum dipecat dari Umno.

Kelibat dan tindakan Ahmad Said sentiasa mencuri tumpuan dalam politik Terengganu dewasa ini. Sebelum ini Ahmad Said telah menolak pelantikan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diumumkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman Razif selepas mesyuarat exco negeri baru-baru ini melibatkan pertambahan dan pertukaran tugas dalam usaha memantapkan pentadbiran negeri.

“Saya rasa sekarang ini saya lebih berminat bekerja secara sukarela daripada dibayar gaji sebab saya dah berpencen,” katanya pada sidang media Pengerusi Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) Dato’ Ibrahim Ali selepas mesyuarat jawatankuasa PERKASA di Kuala Terengganu baru-baru ini yang mengumumkan pelantikan Ahmad Said sebagai yang dipertua PERKASA Terengganu menggantikan Dato’ Ismail Samah.

Ternyata kesalahan yang dilakukan oleh Ahmad Said melakukan undi tidak percaya dalam sidang Dun pada tahun lepas tidak seteruk kesalahan Dato’ Mukhriz Mahathir, mantan Menteri Besar Kedah yang bersekongkol dengan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menggulingkan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Dipercayai, Umno tidak “berani” mengambil risiko untuk memcat Ahmad Said kerana akan memberikan kesan kepada kedudukan kerusi parti berkenaan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu kerana akan mengakibatkan jumlah kerusi yang dipegang akan sama banyak dengan pembangkang iaitu 16-16.

Bekas menteri besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said dilaporkan pasrah jika beliau dipecat dari Umno ekoran kelantangannya mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ekoran wujudnya desakan daripada segelintir pihak yang memintanya dipecat kerana kelantangan mengkritik kerajaan dan membuat usul undi tidak percaya pada sidang Dun yang lalu.

Laporan Sinar Harian dipetik, Ahmad Said yang merupakan ketua Umno Kemaman berkata, sekiranya Majlis Tertinggi memecatnya dari parti, beliau akan akur dengan apa juga keputusan yang akan dimuktamadkan nanti.

“Saya tidak ada sebarang masalah dan akur terhadap apa juga keputusan yang dimuktamadkan kelak, cuma apa sahaja keputusan nanti akan memberi kesan kepada kedudukan dalam Dun.

“Pada masa sekarang, saya akan bertahan dan terus menumpukan tugas sebagai wakil rakyat untuk membela nasib penduduk walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai tohmahan buruk yang dilemparkan sesetengah pihak,” jelasnya yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Kijal.

Apa pun persoalannya, berjayakah Ahmad Said menukarkan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif kepada orang lain seperti yang sentiasa disebut- sebut oleh beliau. Apa pun kita tunggu tindakan
selanjutnya dalam menggugat kerajaan Negeri Terengganu.

Apa pun, Kalam Perantau, menyarankan Anak- Anak Terengganu di perantauan, berpakaian hitam dan putih seperti bendera Terengganu pada majlis bersama Menteri Besar pada 6 Ogos nanti di Putrajaya.

Jika tidak ada apa-apa perkembangan selanjutnya pada 8 Ogos, nanti, mungkin Ahmad Razif Abdul Rahman bolehlah berpuas hati menamatkan khidmatnya sebagai Menteri Besar Terengganu sehingga Dun dibubarkan untuk pilihan raya nanti. Sama-sama kita tunggu…

Tiada ulasan: