Jumaat, 1 Julai 2016

Zuhdi: PAS tak ambil kerusi PKR selagi hubungan masih baik

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Memandangkan hubungan PAS dan PKR masih baik, terutamanya di Selangor, maka tiada keperluan untuk PAS bertanding di kerusi-kerusi yang dipinjamkan kepada parti itu.
 
Itu penegasan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki sambil menambah partinya tidak pernah mengkhianati perjanjian yang dibuat berhubung soal pembahagian kerusi dalam pilihan raya.
 
Sebaliknya dengan DAP, Zuhdi berkata PAS berhak untuk meletakkan calon di kerusi yang ditandingi parti itu memandangkan mereka tidak lagi mempunyai apa-apa kerjasama.
 
"Ia bergantung kepada keputusan Majlis Syura nanti, bersabit kedudukan hubungan PAS-PKR. Selagi kita ada hubungan, PAS tidak pernah mengkhianati perjanjian. Kita melihat bahawa apabila berjanji mesti ditunaikan. 
 
"Pembahagian kerusi satu bentuk perjanjian. Kerusi Menteri Besar Selangor di Gombak, ia merupakan perjanjian. Kita beri mereka kerusi, dan kita ambil kerusi lain. Maka selagi mana kita ada hubungan dengan PKR, perjanjian itu akan diterima.
 
"Tetapi kalau sudah tiada hubungan (dengan PKR), ia mungkin ada kesan yang lain, perhitungan yang lain. Bila PAS putus hubungan dengan DAP, dan tiada hubungan dengan PAN (Amanah), maka kerusi-kerusi yang DAP bertanding terbuka untuk PAS menyertainya," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos, hari ini.
 
Reaksi itu diberikan Zuhdi sebagai menjawab dakwaan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad bahawa PAS mungkin meletakkan calonnya di kerusi Gombak.
 
Kerusi Gombak kini disandang oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Besar Selangor.
 
Mengulas lanjut, Zuhdi berpandangan kenyataan Khalid itu seolah-olah cuba melaga-lagakan hubungan baik antara PAS dan PKR.
 
"Jika Khalid menyatakan PAS hendak bertanding Gombak, saya rasa beliau tidak melihat senario sebenar yang berlaku. Saya nampak ia lebih kepada sifat provokatif," katanya lagi.
 
Jelasnya lagi 'kesempatan' itu sengaja digunakan Ahli Parlimen Shah Alam itu kerana merasa kurang senang dengan sebahagian pimpinan PKR yang mesra dengan PAS.
 
Khalid, turut menggesa sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) untuk bersedia menerima realiti politik untuk berdepan dengan pertandingan tiga penjuru dengan PAS dan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
 
Sehubungan itu, gabungan PKR-DAP-Amanah perlu menyiapkan dirinya sekarang untuk berdepan dengan halangan itu.
 
 

Tiada ulasan: