Selasa, 19 Julai 2016

Zaidy sahkan 13 wakil rakyat Pas Selangor sokong Tuan Ibrahim

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Zaidy Abdul TalibZaidy Abdul TalibAdun Taman Templer Zaidy Abdul Talib mengesahkan wujudnya kenyataan terbuka wakil rakyat Selangor terhadap cadangan “gencatan serangan” oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Man.

Bagaimanapun beliau yang namanya tersenarai dalam kenyataan tersebut menegaskan, banyak berita yang tersebar mengenai kenyataan tersebut telah diubah dan lari daripada maksud asal.

“Di peringkat Adun dan ahli parlimen Selangor memang ada keluarkan kenyataan menyokong timbalan presiden tapi saya tak pasti berita yang diviralkan ini adalah daripada kenyataan asal atau sebaliknya.

“Banyak sangat berita yang dimanupulasi ada yang kata kita tolak presiden (Datuk Seri Abdul Hadi) dan sebagainya. Itu tak betul,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Dalam kenyataan tersebut, 13 wakil rakyat itu menyatakan bahawa mereka akan menyerahkan suatu surat kepada pimpinan pusat yang disokong dan ditandatangani oleh kesemua Adun dan ahli parlimen Selangor.

Mereka menyatakan sokongan kepada Tuan Ibrahim dan Naib Presiden Datuk Iskandar Abd Samad yang mendukung kenyataan itu, setelah penelitian dan perbincangan mendalam.

Zaidy yang juga exco kerajaan negeri Selangor turut berkata, dalam kenyataan bersama itu ada dinyatakan perkara yang dipersetujui dan tidak dipersetjui mengenai cadangan Tuan Ibrahim agar semua pembangkang bersatu.

“Dalam kenyataan itu ada dinyatakan dengan terperinci apa yang kita sokong dan kita tak setuju,” katanya lagi.

Selain Zaidy, 11 Adun dan seorang ahli parlimen yang menyokong ialah Dr Che Rosli Che Mat (Hulu Langat), dikalangan Adun pula Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Mohd Shafie Ngah (Bangi), Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras), Mohd Haslin Hassan (Tanjong Sepat), Dr Abd Rani Osman (Meru), Khasim Abdul Aziz (Lembah Jaya), Dr Halimah Ali (Selat Klang), Hasbullah Mohd Ridzwan (Gombak Setia), Noor Hanim Ismail (Seri Serdang), Razaly Hassan (Dusun Tua) dan Sallehen Mukhyi (Sabak),

Sebagai rekod pada 13 Julai lalu Tuan Ibrahim  mencadangkan agar pembangkang membuat gencatan serangan dan bekerjasama semula dengan memberikan tumpuan kepada musuh bersama iaitu Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tiada ulasan: