Ahad, 17 Julai 2016

Umno yakin penyokong parti bijak buat pilihan

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Umno tidak menafikan bekas pemimpinnya yang sudah meninggalkan parti mempunyai sokongan yang kuat di kawasan masing-masing.
 
Namun menurut Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, sokongan kuat itu hanya ada ketika mereka mempunyai jawatan di dalam Umno.
 
Malah beliau yakin penyokong pemimpin tersebut pasti akan membuat pertimbangan untuk terus setia bersama Umno.
 
"Memang setiap pemimpin Umno itu ada pengikut cuma ada pengikut yang menyokong sewaktu jawatan dalam Umno tapi bila sudah hilang jawatan seperti Umno bila sesiapa jadi pemimpin kita sokong seperti yang terjadi juga pada Tun M.
 
"Bila tidak jadi presiden kita tidak semestinya ikut dia dan itu adalah setiakawan Umno dan dalam Umno kita setia pada parti dan bila setia pada parti kita akan setia pimpinan yang kita lantik sendiri.
 
"Tan Sri Muhyiddin dia Ketua Umno Bahagian Pagoh, Datuk Seri Syafie Apdal, Ketua Bahagia Umno di Semporna Sabah memang lumrah mereka mesti ada pengikut dan penyokong setia tapi dalam jangka masa ini ahli-ahli ini akan berfikir dan membuat pertimbangan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad bakal menubuhkan parti baru yang terdiri ahlinya daripada bekas pemimpin Umno.
 
Antaranya bekas pemimpin Umno yang terlibat adalah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Datuk Seri Syafie Apdal.
 
Tun Mahathir sebelum ini menyatakan hasratnya untuk menubuhkan sebuah parti baru yang akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Pakatan Harapan, PAS dan pertubuhan masyarakat sivil untuk meneruskan perjuangan menyelamatkan Malaysia.
 
Mengulas mengenai cadangan penubuhan parti baru itu, Ehsanuddin berkata parti yang tertubuh itu hanya kerana rasa tidak puas hati sesetengah pihak kepada kerajaan sekarang.
 
Katanya, jika hanya ditubuhkan atas dasar tidak puas hati parti itu pasti tidak akan bertahan lama sepeti mana yang pernah berlaku sebelum ini.
 
"Jadi bila ramai yang tidak puas hati tubuh parti baru namun bila parti baru itu telah digerakkan agenda tidak puas hati tidak boleh bertahan lama.
 
"Seperti Umno ditubuhkan atas dasar perjuangan bukan tidak puas hati bagi membela nasib orang Melayu, nasib bangsa dan setelah berpuluh tahun Umno terbukti sebuah parti yang berkesan.
 
"Akhirnya mereka ini juga akan kembali bertaut kepada Umno jadi bagi saya penubuhan parti ini tidak akan memberi kesan tetapi mungkin sementara sahaja ada kesan sedikit," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: