Isnin, 11 Julai 2016

Tujuh Parti Tolak Pakatan Harapan, Bentuk Gabungan Pembangkang Baharu




Lina Soo (kanan), Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) jurucakap gabungan pembangkang baharuLina Soo (kanan), Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) jurucakap gabungan pembangkang baharu


Tujuh parti menolak Pakatan Harapan (PH) membentuk gabungan pembangkang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), kata Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Lina Soo.
Bercakap pada sidang media di Sibu pada Ahad, Soo berkata gabungan pembangkang baharu itu ditubuhkan kerana Pakatan Rakyat (PR) telah berpecah belah dan sudah tidak sehaluan lagi.

Tambahnya, gabungan pembangkang baharu itu dinamakan Gabungan Rakyat Saksama atau ringkasnya Saksama, yang terdiri daripada tujuh parti iaitu STAR, Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP), Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Alternatif Rakyat (PAP) dari Semenanjung.

“MUPP di bawah presidennya, Philip Among memulakan gabungan baharu ini bulan lalu. Tujuh parti politik bersetuju menjadi sebahagian daripadanya dan kami menjangkakan lebih ramai akan menyertai gabungan ini,” kata Soo.

Beliau berkata permohonan untuk mendaftarkan parti itu telah dibuat dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
“Kami menjangkakan untuk melancarkan (gabungan) parti baharu ini dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, Pengerusi penaja Saksama, Phillip Among berkata tujuh parti itu pada dasarnya telah bersetuju untuk membentuk gabungan pembangkang baharu melalui mesyuarat bersama yang telah diadakan.

Phillip, yang juga Pemangku Presiden MUPP berkata gabungan pembangkang baharu itu akan dibentuk secara formal sepertimana BN.

“Kami mahu Gabungan Rakyat Bersatu menjadi perikatan formal kedua dengan simbol yang sama di Malaysia selepas BN yang telah ditubuhkan lebih 50 tahun lalu,”katanya kepada media selepas mengadakan mesyuarat bersama buat kali kedua.

Hadir dalam mesyuarat bersama itu ialah David Dass (Setiausaha Umum PAP), Patrick Anek Uren (Timbalan Presiden PBDS), Jack Giau (Presiden Perpaduan), Lina Soo (Presiden STAR) dan Abdul Banning Mohd (Presiden Sapu)

David Dass berkata, gabungan itu berharap dapat membawa perubahan bukan sahaja untuk Sabah dan Sarawak, tetapi juga di Semenanjung.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan melihat Malaysia yang baharu,”katanya.

Tiada ulasan: