Isnin, 11 Julai 2016

TERBURU-BURU PULAK? GANTUNG DULU BARU SIASAT TIDAK TERBURU-BURU KE?

shahbudindotcom


Tindakan Shafie Apdal mengumumkan keluar UMNO nampaknya mula meninggalkan kesan yang menakutkan bagi UMNO. Tapi segala-galanya bak kata pepatah, "sudah terantuk, baru tengadah."

Setelah bekas Naib Presiden UMNO itu berbuat demikian dan diikuti dengan tindakan majoriti pimpinan UMNO Bahagian Semporna serta sebilangan lagi di Batu Sapi juga keluar UMNO, nada pimpinan UMNO sudah lain jadinya.

Melalui beberapa maklumat, beberapa pemimpin UMNO dan ahli-ahli di beberapa bahagian lain di Sabah juga bakal mengikut jejak Shafie dalam tempoh terdekat ini.
 
 
 
 
Dua pemimpin tertinggi  yang juga ahl Majlis Tertinggi UMNO, Mustapha Mohamad dan Ismail Sabri Yaakob antara yang awal tampil menyifatkan keputusan Shafie itu sebagai terburu-buru.

Kata mereka, kedudukan Shafie hanyalah digantung sementara menunggu laporan Jawatankuasa Disiplin UMNO dan bekas menteri itu tidak seharusnya terburu-buru membuat keputusan keluar daripada UMNO.

Kenapa baru sekarang mengatakan keputusan Shafie itu terburu-buru?

Siapa yang terburu-buru sebenarnya?

Adakah Shafie yang membuat keputusan keluar UMNO setelah digantung tanpa dipanggil membela diri itu sebagai terburu-buru atau UMNO yang menggantung beliau terlebih dahulu tanpa memberi surat tunjuk sebab dan memanggil membela diri sebagai pihak yang lebih terburu-buru?
 
 
 
 
Adakah dalam mesyuarat MT UMNO yang membuat keputusan penggantungan itu, Mustapha dan Ismail Sabri ada bercakap dan memberi pandangan agar Shafie diberikan surat tunjuk sebab dan dipanggil membela diri terlebih dahulu sebelum digantung?

Adakah hanya setelah melihat keadaan yang berlaku di Sabah selepas Shafie keluar parti dan mungkin berlaku kesan lebih besar daripadanya, maka pemimpin-pemimpin UMNO mula berubah nada? 


Tiada ulasan: