Selasa, 12 Julai 2016

SIAPA PENGKHIANAT - YANG MERAHSIAKAN ATAU YANG MENDEDAHKAN?

shahbudindotcom


Untuk kali ketiganya Salleh Said Keruak bersuara lagi mengenai pendedahan bersiri Laporan Audit 1MDB oleh Sarawak Report, di sebalik semua menteri dan pemimpin UMNO yang lain nampaknya "sudah letih"  untuk terus membela dan mempertahankan syarikat pelaburan paling bermasalah yang dikaitkan secara langsung dengan Najib Razak itu.

Kali pertama bersuara, Salleh meminta polis menyiasat bagaimana kebocoran itu boleh berlaku dan barangkali kerana tidak berapa puas hari disebabkan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar  mahu menentukan ketulenan laporan itu terlebih dahulu sebelum memulakan penyiasatan, beliau kemudian bersuara untuk kali kedua dengan mengatakan Sarawak Report cuba memperdaya orangramai berhubung pendedahannya itu.

Tidak puas hati lagi,  mungkin kerana Sarawak Report terus menerbitkan tulisannya mengenai laporan audit itu yang boleh dibaca dengan meluas walaupun laman pendedah maklumat itu disekat oleh SKMM, untuk kali yang ketiganya, Salleh menyifatkan pula pendedahan itu berupa suatu pengkhianatan kepada negara.

Dalam hal ini, hampir betullah apabila Sarawak Report memanggil Salleh sebagai "Minister for Fun". 

Bukan saja Sarawak Report, tetapi rasanya rakyat juga turut "terhibur"  dengan telatah dan kelakuannya yang bagaikan "cacing kepanasan" asalkan dapat menunjukkan dirinya sebagai pembela Najib nombor satu.

Salleh seolah-olah gagal melihat kebenaran itu daripada aspek yang yang luas dan menyeluruh. Baginya, asalkan ia dilakukan oleh Najib, semuanya adalah benar dan betul belaka.

Jika diimbas dengan ringkas perjalanan 1MDB, bolehkah kita terbayang  bagaimana sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Najib, kemudian melantik dirinya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat, diletakkan di bawah Kementerian Kewangan di mana beliau juga sebagai Menteri Kewangan, menjadikan Jho Low sebagai "tangan utama" menguruskan pelaburan, memilih Ahli Lembaga Pengarah dan CEO atas kehendaknya, tiba-tiba terbelenggu dengan hutang bertimbun, mudah ditipu ribu-ribu juta, berbilion ringgit hilang dan tidak dapat disahkan serta berlaku pelbagai masalah lainnya lagi?

Soalnya, apakah dengan cengkaman tangan Najib yang begitu meluas terhadap 1MDB, beliau boleh lepas tangan dan tidak tahu langsung mengenai wang beribu juta yang begitu mudah lesap dan hilang entah ke mana?

Apabila audit dilakukan dan tersingkap beberapa kelemahan yang mungkin mudah difahami ada kaitannya dengan Najib dan Jho Low, maka ia akhirnya diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA.

Bukankah oleh kerana Laporan Audit 1MDB  itu menjadi komponen penting dalam Laporan PAC yang sudah dibentangkan di Parlimen, seharusnya sebaik saja Laporan PAC itu disiapkan, laporan audit tidak perlu lagi menjadi rahsia?

Mengapa setelah Laporan PAC dibentangkan, tetapi Laporan Audit 1MDB masih rahsia?

Apakah banyak lagi fakta-fakta tersembunyi atau pengkhianatan dalam laporan audit itu yang ingin terus disembunyikan daripada pengetahuan rakyat?

Jika tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, mengapa ia masih diOSAkan?

Sebelum Salleh mengeluarkan kenyataan kali keempatnya untuk terus menunjukkan keunggulannya sebagai satu-satunya menteri yang rajin membela Najib walaupun kata-katanya bukan setakat menjadi sanggahan ramai, malah juga bahan ketawa masyarakat,  siapakah yang mengkhianat sebenarnya - yang cuba mendedahkan pengkhianatan atau mereka yang menyembunyikannya?

Selepas sebulan berpuasa dan ketika berada di atas sejadah, elok juga sesekali Salleh menyoal di kategori mana beliau meletakkan dirinya sekarang ini? 


Tiada ulasan: