Selasa, 5 Julai 2016

Serangan Berani Mati Di Luar Masjid Nabawi, Empat Terkorban

DETIK DAILY


 

RIYADHSekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam serangan berani mati di Arab Saudi pada Isnin, selepas berlakunya dua serangan di tempat lain di rantau ini, sebelum berakhirnya Ramadan.

Tiada pihak yang serta-merta mengaku bertanggungjawab untuk ketiga-tiga serangan, dengan yang terbaharu dilancarkan di bahagian luar Masjid Nabawi di Madinah, menyebabkan empat anggota pasukan keselamatan terbunuh dan beberapa yang lain cedera.



Sejak akhir 2014, Arab Saudi telah dilanda serangan bom dan tembakan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Negara Islam (IS) tetapi beberapa serangan pada hari yang sama, yang terdahulu berlaku di Qatif dan Jeddah adalah luar biasa.

Masjid Nabawi yang terletak di bahagian barat, adalah salah sebuah tempat suci bagi umat Islam, di mana makam Nabi Muhammad SAW terletak di sini dan menarik jutaan pengunjung setiap tahun.

"Pasukan keselamatan telah mengesyaki seorang lelaki yang sedang menuju ke arah Masjid al-Nabawi dan lalu di kawasan letak kereta pelawat," kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

"Apabila mereka cuba menahannya, dia bertindak meletupkan dirinya dengan tali pinggang letupan yang dipakainya, menyebabkan dia dan empat anggota keselamatan lain maut," kata kenyataan itu, sambil menambah lima lagi mengalami kecederaan.



Dua letupan lain berlaku di bandar Laut Merah, Jeddah berdekatan stesen saluran berita Al-Arabiya yang menunjukkan imej api yang marak di tempat letak kereta dengan sekurang-kurangnya satu mayat dapat dilihat.

Dua pegawai keselamatan cedera dalam pengeboman di Jeddah, kata kementerian dalam negeri.

Penduduk Qatif berkata bahagian badan ditemui berhampiran sebuah masjid kumpulan Syiah dan Kementerian Dalam Negeri mengesahkan ia adalah pengeboman berani mati sambil menjelaskan bahawa 'bahagian badan tiga orang telah ditemui' di lokasi itu tetapi identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.

Kementerian itu berkata, serangan maut di Madinah berlaku ketika solat Mahgrib selepas umat Islam berbuka puasa.

Tiada ulasan: