Ahad, 10 Julai 2016

Selepas kalah di dua PRK, Pas nilai semula hubungan dengan PKR

MALAYSIA DATELINE
 
 
Pas kaji semula hubungan dengan PKRPas kaji semula hubungan dengan PKR


Tindakan PKR yang menyeru pengundi agar tidak memilih calon daripada Pas semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan dijadikan bukti sebelum hubungan kedua-dua parti dinilai semula.

Kata Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Dr Mohd Zuhdi Marzuki kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan daripada pimpinan PKR yang disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap parti itu akan diperincikan sebelum Majlis Syura membuat keputusan sama ada hubungan dengan PKR patut ditamatkan atau tidak.

“Contoh dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar memang satu pengkhianatan yang jelas yang dibuat oleh PKR.

“Di mana PKR secara jelas menyeru pengundi jangan undi PAS sedangkan kita ada pakatan politik.
“Ini bukti-bukti pengkhianatan yang memang sudah berlaku,” katanya seperti dilapor The Malaysian Mirror hari ini.

Tambahnya, PKR semakin menunjukkan belang terutamanya ketika PRK walaupun PAS bersama-sama dengan parti itu ketika saat genting bermula pemenjaraan Anwar Ibrahim pada 1998.

“PAS masih menganggap ada hubungan dengan PKR, ketika PKR lemah kita bersama PKR walaupun DAP keluar daripada barisan alternatif dulu tetapi sekarang ini nampaknya PKR sudah mula hendak meninggalkan PAS.

“Hubungan ini sudah melebihi satu dekad bermula 1998 semenjak DSAI (Anwar Ibrahim) digugurkan daripada kabinet dan dipenjarakan, tetapi mutakhir ini PKR sudah menunjukkan perangai sebenar,” tambahnya.

Terdahulu, Dewan Muslimat PAS pada Muktamar parti yang Ke-56 baru-baru ini menerima usul mendesak parti Islam itu mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR terutama pada pilihan raya umum akan datang.

Usul yang dikemukakan Dewan Muslimat PAS Kedah dan akan diserahkan kepada Majlis Syura Ulama PAS.

Justeru itu, Mohd Zuhdi memaklumkan sehingga kini proses mengumpul bukti-bukti yang menguatkan lagi pengkhianatan PKR terhadap PAS akan dikumpul dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut PKR katanya lagi sepatutnya mengambil pendekatan berkecuali agar tidak memberi kesan kepada PAS yang merasakan diri disisihkan walaupun mempunyai hubungan politik bersama-sama parti itu.

Tiada ulasan: