Khamis, 7 Julai 2016

'Saya tak tahu. Ini kali pertama dengar'


Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah


KUALA LUMPUR - Veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mengakui tidak mengetahui sebarang gerakan menyingkirkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti yang didakwa.

"Saya tak tahu. Ini pertama kali saya dengar," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunus mengakui berlaku perbincangan tertutup lebih 100 ketua Umno bahagian seluruh negara sebagai usaha menyingkir Muhyiddin dan kumpulannya dari parti itu.

Ketika diminta mengulas lanjut, Tengku Razaleigh atau mesra disapa Ku Li berkata, beliau tiada halangan jika Jamal mampu untuk menyingkirkan Muhyiddin dari parti,

"Jika dia (Jamal) mampu buat, dia boleh buatlah," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sah wujud gerakan singkir Muhyiddin]

Ditanya kesan jika gerakan itu berjaya, ini jawapan Ku Li.

"Penilaian itu kita tengoklah macam mana. Susah nak ulas."

Difahamkan, beberapa laman sosial telah diviralkan mengenai kempen ini yang dikatakan dilakukan melalui aplikasi Telegram.

Laman sosial Johor Bangkit misalnya mendakwa terdapat 140 ketua bahagian bersetuju untuk melakukan tindakan menyingkir bekas timbalan perdana menteri itu termasuk mendapat lima sokongan di Johor, sementara dua lagi tidak melayan kempen berkenaan.

Dalam kenyataan laman sosial itu turut mendakwa punca mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini terpaksa dibatalkan adalah untuk membolehkan mereka mempunyai masa untuk mengumpulkan nama ketua-ketua bahagian yang lebih banyak bagi menjayakan komplot tersebut.


Tiada ulasan: