Selasa, 12 Julai 2016

SAKSAMA tak mampu lawan BN dalam PRU14

Siti Baaqiah Mamat


Gabungan baharu pakatan pembangkang yang bakal dikenali sebagai Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) dilihat tidak mampu menyaingi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Penganalisis dan pemerhati politik berpendapat, bagi tempoh PRU akan datang yang tidaklah terlalu lama lagi, ia pastinya menjadi kekangan kepada Saksama untuk membuktikan kemampuan mereka dalam politik negara.

Penganalisis politik Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata cadangan penubuhan pakatan pembangkang itu sahaja sudah cukup mengelirukan rakyat, apatah lagi untuk rakyat menzahirkan sokongan kepada gabungan baharu itu.

"Rakyat akan tertanya-tanya, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan, kini Saksama pula?," katanya kepada Bernama, hari ini.

Dilaporkan, satu pakatan pembangkang baharu yang terdiri daripada tujuh parti politik akan dilancarkan tidak lama lagi yang dikenali sebagai Saksama, berikutan Pakatan Rakyat dan kemudiannya Pakatan Harapan dilihat gagal memberi saingan kepada BN.

Kegagalan pakatan sebelum ini merujuk kepada kejayaan besar BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak dan dua Pilihan Raya Kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, baru-baru ini.

Saksama adalah gabungan parti-parti politik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia antaranya Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star), Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (Sapu), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Alternatif Rakyat dari Semenanjung.

"Bagaimana pembangkang ingin dapatkan keyakinan dan sokongan rakyat kalau sesama mereka sendiri bertelagah hingga perlu wujudkan gabungan baharu?," kata Dr Mohd Fuad yang juga Pensyarah Geo-Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Ismail Sualman pula berkata Saksama memerlukan formula yang terbaik untuk menyaingi BN.

Namun, katanya, mereka kesuntukan masa untuk bersaing pada PRU nanti.

"Di peringkat awal ini, saya berpendapat mereka hanya sekadar menyertai pentas politik," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: