Jumaat, 1 Julai 2016

Rancang dalami pengajian agama

Ahmad Husni
Ahmad Husni
 
 
IPOH - Setelah seminggu berdiam diri, bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang berundur daripada Kabinet dan meletak semua jawatan dalam parti  Isnin lalu, bersuara.

Dihubungi Sinar Harian menerusi aplikasi WhatsApp beliau memberitahu beliau sedang merancang untuk mendalami pengajian agama selepas kekal dengan keputusannya berundur daripada semua jawatan, Isnin lalu.

Menurutnya, sudah menjadi impian beliau untuk belajar agama di Jordan dan kali ini menjadi kesempatan buatnya untuk merealisasikannya.

“Saya tengah merancang ke negara itu selama tiga bulan untuk belajar bahasa Arab, pengajian al-Quran dan hafazan. Semoga berjaya,” katanya ringkas kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad Husni berkata, beliau tetap meraikan sambutan Aidilfitri bersama rakyat menerusi Majlis Rumah Terbuka yang diadakan pada 2 Syawal nanti di kediamannya di Sungai Rokam, di sini.

"Pertemuan dengan rakyat pada majlis rumah terbuka itu nanti akan berlangsung seperti kebiasaan, meskipun sedar bakal berdepan dengan pelbagai respons berhubung pengunduran (saya) dalam Kabinet dan parti. Kita 'enjoy' (berhibur) sahaja,” katanya.

Dalam laporan sebuah akhbar tempatan semalam, Ahmad Husni meminta semua pihak menghormati keputusannya untuk melepaskan semua jawatan parti atas sebab peribadi dan memberi masa serta ruang untuk berehat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rombakan Kabinet dengan tempat Ahmad Husni digantikan oleh Datuk Johari Abdul Ghani.

Ahmad Husni turut melepaskan jawatan Bendahari Umno, Bendahari Agung BN, Timbalan Pengerusi Umno Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua Umno Bahagian Tambun dan Pengerusi BN  Kawasan Parlimen Tambun.


Tiada ulasan: