Isnin, 4 Julai 2016

Rahman Dahlan tak terkejut Shafie keluar Umno

 
Umno bersedia untuk berdepan dengan sesiapa saja yang cuba memudaratkan parti.


rahman-shafie


PETALING JAYA: Keputusan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal keluar Umno selepas Majlis Tertinggi (MT) bertindak menggantung keahliannya sehingga siasatan selesai dijalankan, bukan sesuatu yang mengejutkan.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan itu sememangnya sudah dijangka memandangkan Shafie terlibat dalam gerakan yang memudaratkan parti.

“Keputusan Datuk Seri Shafie Apdal keluar Umno tidak memeranjatkan sama sekali. Memang dijangka. Selama ini pun gerakan dia memudaratkan parti,” katanya dalam status Twitternya, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata Umno bersedia untuk berdepan dengan sesiapa saja yang cuba memudaratkan parti.

“Dulu pun begitu. Apatah lagi sekarang,” katanya.

Rahman berkata Umno bukan kuat kerana individu tetapi kerana misi dan perjuangannya dan pemimpin akan datang dan pergi tetapi yang tinggal hanyalah perjuangan.

Katanya, tindakan Shafie keluar parti itu tidak akan menjejaskan Umno di Sabah kerana sokongan rakyat adalah kepada parti dan bukannya kepada mana-mana individu yang mempunyai kepentingan.

“Umno Semporna masih berfungsi dan akan diperkukuhkan lagi dengan barisan kepimpinan yang lebih mantap, mempedulikan kepentingan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: