Selasa, 12 Julai 2016

PRN Pulau Pinang hanya satu pilihan - DAP

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic



PETALING JAYA: DAP belum mengadakan perbincangan bersama pimpinan pusat bersabit untuk mengadakan pilihan raya mengejut sebagai tanda protes kepada pertuduhan rasuah yang difailkan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Malah menurut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke buat masa ini ia hanya merupakan satu pilihan yang belum pasti dilaksanakan.

Tetapi jika parti sudah memuktamadkan perkara itu, ia akan diusulkan pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH).

"Itu hanya khabar angin sahaja dari media. Belum ada apa-apa keputusan daripada DAP. Seperti yang saya katakan semalam, pimpinan pusat DAP belum membincangkan kemungkinan itu. Itu hanya pilihan.

"Jika ada niat untuk buat (pilihan raya), barulah kita akan bawa agenda itu kepada perbincangan dengan rakan-rakan di dalam PH. Oleh sebab itu tidak ada sebab untuk dibincang lagi," katanya di sidang media selepas mesyuarat tersebut, tengah hari tadi.

Anthony mengulas cadangan DAP Pulau Pinang yang sedang menimbang sama ada akan mengadakan pilihan raya mengejut sebagai tanda protes kepada pertuduhan rasuah yang difailkan terhadap Guan Eng.

Tindakan itu dibuat ekoran mahu menilai maklum balas rakyat terhadap pertuduhan ke atas Guan Eng.

Untuk rekod pada 30 Jun lalu Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas dua pertuduhan iaitu salah guna kuasa, dan perolehan harta di bawah nilai pasaran bagi seunit kediaman di Jalan Pinhorn, George Town.

Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 (berkaitan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran).

Bagaimanapun Guan Eng mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan berkenaan dan beliau dibenar ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.


Tiada ulasan: