Selasa, 5 Julai 2016

PKR anggap partinya 'pengikat' DAP-PAS-Amanah

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR adalah 'pengikat' antara parti pembangkang iaitu DAP-PAS-Amanah walaupun Pakatan Rakyat (PR) sudah berpecah dan kini menubuhkan Pakatan Harapan (PH).
 
Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, sekiranya peranan yang dimainkan parti ini kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak mustahil pakatan itu mampu mengekalkan prestasi yang pernah diraih pada 2008 dan 2013.
 
"Saya kira PKR adalah pengikat dan penghubung dikalangan parti pembangkang, saya ingat kalau berjaya diteruskan bermakna pencapaian yang kita dapat sejak 2008 dan 2013 itu akan diteruskan walaupun ada beberapa gangguan di sana sini. 
 
"Saya kira peranan yang dimainkan PKR itu adalah satu peranan yang amat relevan dalam keadaan politik sekarang ni," katanya secara eksklusif kepada Antarapos.
 
Selepas penubuhan PH, hanya PKR yang mempunyai hubungan baik dengan PAS dan parti komponennya yang lain (DAP dan Amanah) tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berbaik dengan parti itu.
 
Disebabkan kerjasama yang dingin itu pembangkang kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Mei lalu dan di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Jun.
 
Kekalahan itu akibat daripada kegagalan pembangkang mencapai kata sepakat dalam soal pembahagian kerusi hingga menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
 
Justeru Shaharuddin berkata PKR akan memastikan hubungan 'baik' antara parti pembangkang diperbaiki demi berdepan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) sekaligus merealisasikan harapan untuk menawan Putrajaya.     
 
"Pendirian PKR itu adalah memastikan perjalanan satu lawan satu itu, supaya apa yang berlaku pada 2008 dan 2013 itu dapat diteruskan.
 
"Kerana kita yakin bahawa dalam persaingan PRU satu lawan satu ini akan beri kelebihan kepada oposisi berbanding tiga penjuru sudah pasti ketiga-tiga pihak akan berhadapan dengan masalah yang besar," katanya. 
 
Mengulas mengenai inisiatif yang akan digunakan PKR dalam menjernihkan hubungan antara DAP, PAS dan Amanah, Shaharuddin berkata walaupun PAS enggan memberi kerjasama yang baik buat masa ini, namun perkara itu boleh diusahakan demi kebaikan rakyat.
 
"Memang kita masih dalam PH dan dalam waktu yang sama kita harus mengekalkan hubungan dengan PAS. Walaupun pemimpin-pemimpin PAS sudah nyatakan mereka tak boleh bergabung dengan Amanah dan DAP tapi itu pandangan parti masing-masing," ujar beliau.
 
 

Tiada ulasan: