Jumaat, 1 Julai 2016

Pendakwaan terhadap Guan Eng tidak menjejaskan DAP - Saifuddin Abdullah

Oleh Azizul Osman
Post Pic


SHAH ALAM: Pendakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam tidak menjejaskan DAP sebaliknya mungkin mengukuhkan lagi sokongan bagi parti itu, demikian kata Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Datuk Datuk Saifuddin Abdullah.

"Tidak ada (kesan besar kepada DAP). Pada saya dalam suasana sekarang, sokongan kepada DAP kekal malah saya rasa akan bertambah kerana masyarakat lihat Guan Eng dizalimi," katanya mengulas dua pertuduhan rasuah yang disabitkan kepada Setiausaha Agung DAP itu.

Bercakap kepada Antarapos, Saifuddin berkata kedua-dua pertuduhan rasuah terhadap Guan Eng itu tidak langsung memberikan kesan kepada kepimpinan DAP sama ada Pusat dan Pulau Pinang yang berdiri teguh di belakangnya.

Malah, parti itu berjaya mengutip sejumlah RM1 juta dalam kurang 24 jam untuk membiayai wang ikat jamin Guan Eng.

Difahamkan, DAP menggunakan dana parti membayar wang jaminan RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi bagi membebaskan Guan Eng, susulan dua pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

"Saya rasa DAP tidak tergugat, semalam Mesyuarat DAP Pulai Pinang dan pagi tadi berlangsung Mesyuarat DAP Pusat oleh Jawatankuasa Pusat, saya difahamkan dikedua-dua mesyuarat beliau terus mendapat sokongan penuh daripada pimpinan DAP.

"Cara beliau diperlakukan merujuk kepada saya menambahkan lagi sokongan kepada DAP, bukti sokongan itu dapat dilihat dari kutipan derma RM1 juta bermula jam 5 petang semalam hingga jam 2 petang tadi, sudah dapat jumlah itu. Bayangkan kalau masyarakat sokongan kepada Guan Eng begitu, ia juga adalah sokongan kepada DAP," katanya lagi.

Penahanan Guan Eng pada Rabu dilihat sedikit sebanyak mengarah kepada kancah krisis politik sama seperti yang berlaku kepada PKR kini.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Saifuddin bahawa DAP akan menerima nasib yang sama dengan PKR yang 'kehilangan' teraju utamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran kesalahan meliwat.

"Saya rasa tidak kerana mereka ada barisan kepimpinan yang cukup dan baris pelapis yang mantap. Buat masa ini tidak ada apa-apa masalah sebab beliau belum didapati bersalah, masih boleh jalankan tugas beliau macam biasa,” tambahnya.

Guan Eng dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya Betty Chew Gek Cheng dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta.

Sekiranya didapati bersalah, Guan Eng bakal berdepan risiko hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri Pulau Pianng dan ADUN Air Putih malah tidak dapat memimpin parti itu dalam Pilihanraya umum ke 14 (PRU14) akan datang.


Tiada ulasan: