Jumaat, 22 Julai 2016

Pelajar kolej maut kenderaan terbakar di plaza tol

 
Pelajar itu yang memandu kereta jenis Nissan Sentra dipercayai berada di laluan kanan plaza tol berkenaan sebelum cuba memotong sebuah kereta untuk ke laluan kiri.


Loke Yew


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej swasta rentung apabila kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Plaza Tol Loke Yew menghala ke Pandan Jaya di sini, hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Shafie Daud berkata kejadian berlaku kira-kira 7 pagi selepas pelajar itu Rhaveen a/l Sugumaran, 19, yang sebelum itu menumpangkan ibunya ke Jalan Pantai Baharu, meneruskan perjalanan menuju ke kolejnya di Kuchai Lama.

Katanya pelajar itu yang memandu kereta jenis Nissan Sentra dipercayai berada di laluan kanan plaza tol berkenaan sebelum cuba memotong sebuah kereta untuk ke laluan kiri.

“Kegagalan berbuat demikian, dia merempuh pembahagi konkrit menyebabkan kereta tersebut terbakar serta-merta.

“Dia tidak dapat keluar dari kereta pada masa itu kerana dia tersepit di tempat duduknya,” kata Shafie ketika dihubungi.

Shafie berkata mayat Rhaveen telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: