Selasa, 12 Julai 2016

PAS Pencetus Penyuburan Idea Blok Ketiga Pembangkang


Abdul Rahman Malik 


 Idea dan pemikiran baru perlu dicerap bagi menghasilkan strategi dan pendekatan politik lebih berkesan untuk ‘memintas saingan’ dalam pergolakan siasah di Malaysia.


PAS, umpamanya, mulai memperkenal dan menggerakkan budaya politik matang dan sejahtera. Dalam kata mudah, seberapa mungkin ia tidak mahu politik jadi gelanggang sengketa tanpa sempadan.

PAS juga cuba menghindar konfrontasi. Berpolitik tidak bermakna harus bersengketa. Keinsafan ini mungkin berputik daripada pengalamannya ketika menganggotai Pakatan Rakyat dari tahun 2008 hingga 2015.

Bermula dengan harapan yang tinggi mahu mencapai sasaran bersama menamatkan monopoli kuasa Umno-BN, PAS sanggup menangguhkan sasaran perjuangannya melaksanakan syariat Islam.

PAS bersetuju mendepani isu tuntutan pelaksanaan syariat apabila ada keperluan apabila tiba masanya. Ini semua dilakukan demi mengisi tuntutan tahaluf siyasi.

Maka tidak hairanlah PAS bersedia bekerjasama dengan parti dominasi Cina seperti DAP meskipun akur bahawa parti itu tidak mempunyai toleransi tinggi terhadap inti perjuangan PAS.

Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan kekuatan memperluaskan pelaksanaan syariat Islam di wilayah politiknya seperti Kelantan, barulah PAS menyusun langkah berhadapan dengan DAP.

Apa yang berlaku kini sudah menjadi sejarah. Tiada titik persefahaman ditemui dan DAP pun mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah berkubur kerana DAP tidak berkenan dengan cita-cita teokrasi PAS mahu melaksanakan hukum Islam.

Kerjasama PAS, PKR tak perlu dikaji semula

Bagaimanapun itu tidak bermakna PAS mahu meleraikan slogan ‘PAS for All’ (PAS untuk semua) yang dijunjungnya dalam pilihanraya umum ke-13. Setiap ahli PAS yakin Islam itu adil dan tidak akan menganiaya mana-mana pihak.

Momokan DAP dan sekularis Melayu-Islam tidak menjejaskan keyakinan PAS. Projek meraikan Budaya Matang dan Sejahtera (BMS) kini semboyan baru PAS.

“Kita akui bersendirian tidak mampu untuk kita meraih lebih banyak kerusi. Jadi perlu ada gabungan dan kita mengajak PKR bersama dengan Blok Ketiga.

“Biarkan DAP hendak bersama Amanah. Tetapi kita nak ajak PKR bersama PAS dalam Blok Ketiga,” kata ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Fuad Salleh.

Beliau berkata, kerjasama di antara PAS dan PKR, lebih-lebih lagi menerusi rekod pentadbiran kerajaan Selangor, tidak perlu dikaji semula.

Ini kerana PKR sedia maklum kekurangannya dan kelebihan yang ada pada PAS bagi melengkapi keperluan agenda politik masing-masing.

“PKR juga tahu kedudukan mereka. Kerusi-kerusi yang dimenangi PKR sekarang di kawasan campuran sebahagiannya datang daripada undi penyokong PAS. Jadi sanggupkah PKR memperjudikan nasib kawasan-kawasan mereka?

“Kerusi Bukit Antarabangsa dan Gombak yang merupakan kawasan Menteri Besar adalah kerusi yang asalnya milik PAS dan diserah kepada PKR,” kata Fuad.

Sebab itu PAS mula berfikir di luar kerangka politik lama. Ia melamar Parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan) dan Badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertainya menubuhkan blok pembangkang baru.

Dalam pada itu, PAS juga tidak mahu meninggalkan rakan taulannya. Ia masih meletakkan PKR dalam senarai rakan politiknya lantas mempelawanya bersama.

Meskipun timbul kerisauan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-62 bulan lalu di mana Dewan Muslimat mengusulkan kajian semula kerjasama dengan PKR yang dianggap tidak menghormati hubungan, itu bukan masalah besar bagi Dr Fuad.

Sungguhpun hingga kini kepimpinan PKR kelihatan masih belum bersedia mendepani isu tahaluf dengan PAS, kemungkinan inisiatif Blok Ketiga PAS ini mendapat lonjakan baru tidak boleh dipandang sepi.

Apakah ada kemungkinan PAS bertahaluf dengan Saksama? 

Kelmarin, tersebar berita kemungkinan sebuah lagi pakatan pembangkang baru yang terdiri daripada tujuh parti politik akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Lina Soo berkata, blok politik baru – Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) – sedang ditubuhkan kerana Pakatan Rakyat gagal memberi saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, oleh kerana pakatan pembangkang itu kini berpecah-belah dan sudah tidak lagi sehaluan Saksama adalah galang gantinya. Ia terdiri parti-parti politik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Termasuk dalam gabungan ini ialah, STAR, Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP) , Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Alternatif Rakyat dari semenanjung.

Beliau berkata permohonan mendaftarkan parti itu telah dibuat dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Kami menjangkakan untuk melancarkan parti baharu ini dalam tempoh satu atau dua bulan lagi,” katanya.

Yang pasti didorong amalan budaya matang dan sejahtera ini PAS lebih terbuka pada idea blok politik sebegini. Justeru, PKR perlu mempercepatkan proses membuat keputusannya sama ada mahu menerima tawaran PAS atau tidak.

Kebarangkalian PAS melangkah jauh dan bertahaluf pula dengan Saksama akan bukan sahaja mewarnai arena politik Malaysia malah mampu membentuk seteru ampuh terhadap Umno-BN. Kemungkinan tidak bijak dinafikan.

Pengalaman dalam Pakatan Rakyat dahulu membuktikan PAS sebenarnya mempunyai fleksibiliti politik yang tinggi. Ia juga telah mempamerkan pada umum bahawa kuasa bukanlah matlamat mutlak perjuangannya.

PAS kini lebih mengutamakan kematangan berpolitik dan mahu menatijahkan kesejahteraan menyeluruh untuk rakyat Malaysia. Sanggupkah PKR menepis begitu sahaja tawaran PAS itu?

Tidakkah reformasi yang diidamkan oleh PKR selama ini bertunjangkan pemikiran yang matang dan bermatlamatkan kesejahteraan rakyat?

Bersama DAP dan Amanah, PKR masih disibukkan dengan melayan karenah perkauman dan kebencian. Mungkin jika bersama PAS dan Saksama, PKR lebih mudah mencapai impian politiknya.

Tiada ulasan: