Isnin, 4 Julai 2016

Nyaris Tak Pulang Beraya Kerana Rayani Air

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
 
 
PETALING JAYA: Beberapa keluarga dan pelanggan Rayani Air nyaris tidak pulang berhari raya akibat pembatalan penerbangan melibatkan tiket bernilai sehingga ribuan ringgit.

Ia merupakan dugaan besar buat salah seorang penumpang yang buat pertama kali berpeluang untuk berhari raya di kampung halaman selepas tidak dapat melakukannya sejak tiga tahun lalu.

Dengan kerinduan yang amat sangat terhadap keluarganya di Pulau Gaya, dekat Kota Kinabalu, suri rumah, Anrada Dimulu, 38, merancang untuk pulang bersama suami dan tiga anaknya.

"Kami rindu sangat, jadi suami mengambil cuti selama dua minggu untuk kami berhari raya di kampung.

"Kami berjaya dapatkan tiket Rayani Air hampir RM2,000 tetapi nak buat macam mana, tiket yang dibeli telah dibatalkan," katanya kepada mStar Online.

Anrada atau Ann berkata, dia dan suaminya terpaksa mencari alternatif lain dengan membeli tiket penerbangan baharu.

"Tetapi harga tiket dah semakin mahal untuk penerbangan terus ke Kota Kinabalu, dengan keadaan suami sahaja yang bekerja dan anak-anak yang perlu ditanggung lagi.

"Kami akhirnya berjaya dapat cari cara lain dengan membeli tiket ke Labuan dan kemudian terpaksa menaiki feri untuk ke Kota Kinabalu," katanya sambil menambah ia merupakan pertama kali dalam hidupnya pulang ke kampung halaman dari Kuala Lumpur melalui Labuan.

Seorang lagi penumpang Rayani Air terpaksa melupakan hasrat untuk membuat persiapan Aidilfitri selepas membeli tiket penerbangan  alternatif dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Hanya mahu dikenali sebagai Jaafar, 46, hari raya kali ini cukup bermakna kerana anaknya yang baharu lahir buat pertama kali akan bertemu neneknya.

"Kerana faktor masa dan kos, kami enam sekeluarga sukar untuk pulang ke kampung. Jadi, Aidilfitri kali ini bakal menjadi sesuatu yang istimewa kerana kami akan pulang bersama anak yang baru berusia beberapa bulan.

"Tetapi tak sangka pula nasib Rayani Air turut menimpa kami. Terpaksalah cari alternatif lain, kena tambah belanja lagi, saya bukannya bergaji besar," katanya dengan nada terkilan.

Menurut Jaafar yang bertugas dalan bidang perhotelan, dia terpaksa memotong perbelanjaan lain akibat pembelian tiket baharu.

"Dengan perbelanjaan baharu hampir RM3,000, bajet saya untuk raya dah 'lari' kerana saya perlu juga bawa wang untuk diberi kepada keluarga di kampung.

"Hari Raya kali ini tak fikir sangat nak baju baru ke, sebab apa yang lebih penting kami dapat pulang berhari raya di Kuching," katanya

Jaafar mendakwa, Rayani Air telah mengeluarkan cek bertarikh 30 Jun sebagai bayaran balik tambang tetapi malangnya ia merupakan cek tendang selepas dideposit ke dalam akaun bank.

Tiada ulasan: