Jumaat, 8 Julai 2016

NGO bidas PM membisu kenyataan mufti

MALAYSIAKINI


Majlis antara agama di Malaysia mempersoalkan sikap membisu perdana menteri berhubung pelabelan 'kafir harbi' oleh Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman terhadap mereka yang menentang hudud .
Menurut Majlis Perundingan Buddhsim, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) kenyataan itu adalah sesuatu yang menghasut.

"MCCBCHST bingung dengan sikap membisu perdana menteri kita dan pemimpin lain mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti itu.

"MCCBCHST berpendapat, gesaan mufti itu adalah suatu provokasi berbahaya yang boleh menjejaskan kestabilan negara yang mana rakyat berbilang kaum dan agama telah hidup dengan aman dan damai selama lebih daripada setengah abad," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu berkata istilah 'kafir harbi', yang sesetengah pihak mentafsirkan sebagai halal ditumpahkan darah mereka itu adalah hasutan kerana ia menggalakkan orang ramai untuk melakukan pembunuhan dan jelas ini tidak mengikut perlembagaan.

Pada 24 Jun lalu, Abdul Rahman dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai melabel DAP sebagai 'kafir harbi' kerana menentang tindakan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Mufti itu kemudiannya menjelaskan istilah berkenaan bukan ditujukan hanya kepada DAP tetapi juga kepada semua masyarakat bukan Islam yang menentang hukum hudud.

Di sebalik bantahan seluruh negara berhubung kenyataannya itu yang dianggap pengkritiknya sebagai berbahaya dan tidak bertanggungjawab, Abdul Rahman enggan berganjak.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang berkata kenyataan mufti itu hanya pendapat peribadi dan bukan fatwa rasmi.

Namun kumpulan seperti Persekutuan Kristian Malaysia mendesak perdana menteri sendiri supaya tampil menegur mufti itu.

Tiada ulasan: