Jumaat, 8 Julai 2016

Najib dicabar dedah laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB

tony pua

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Status sulit laporan Ketua Audit Negara mengenai skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mesti diubah selepas laman web Sarawak Report membocorkan sebahagian daripada dokumen rahsia berkenaan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Sarawak Report memberi hadiah Aidilfitri terbaik kepada rakyat Malaysia dengan mendedahkan hasil siasatan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB yang selama ini cuba disembunyikan kerajaan melalui Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Oleh itu, jelasnya, demi menghormati semangat kejujuran dan kesopanan sempena sambutan Aidilfitri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti segera mengarahkan status laporan Ketua Audit Negara itu diubah agar tidak lagi tertakluk bawah OSA.

“Lagipun, jika beliau ikhlas tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan berkeras bahawa Sarawak Report memalsukan laporan Ketua Audit Negara itu, maka mendedahkan laporan ‘sebenar’ akan memusnahkan terus kredibiliti Sarawak Report.

“Kegagalan untuk mengubah status sulit laporan Ketua Audit Negara itu akan hanya meningkatkan syak wasangka orang ramai mengenai penutupan terbesar skandal yang melibatkan Perdana Menteri negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Laman web Sarawak Report semalam menerbitkan beberapa kandungan yang didakwa sebagai laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB walaupun dokumen berkenaan masih diklasifikasikan sebagai sulit di bawah OSA.

Ia menyenaraikan kebimbangan yang diutarakan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya, termasuk beberapa pemindahan dana yang dipersoalkan.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, laman web yang dikendalikan oleh Clare Rewcastle Brown itu berjaya membuat sesuatu yang beliau sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sendiri gagal lakukan.

“Ia adalah sesuatu yang saya sendiri tidak mampu lakukan kerana Pengerusi AC Datuk Hasan Arifin memutuskan bahawa anggota jawatankuasa pun tidak dibenarkan menyimpan salinan dokumen itu.

“Saya hanya boleh membaca laporan tersebut semasa mesyuarat PAC atau atas permintaan di pejabat Parlimen,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: