Ahad, 3 Julai 2016

MAIJ perkenal sistem JQTA kawal kualiti institusi tahfiz

Bernama 
 
MAIJ perkenal sistem JQTA kawal kualiti institusi tahfiz
Johor mempunyai kira-kira 300 buah madrasah, namun, tidak semua menjaga kualiti dan menggunakan modul-modul yang berbeza. - Gambar hiasan
 
 
MUAR: Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan memperkenalkan Sistem Jaminan Kualiti Tahfiz Johor (JQTA) bagi mengawal mutu institusi tahfiz di negeri ini.

Pengarah Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (IASWJ), Prof Datuk Dr Abdul Razak Omar berkata pihaknya akan bersama MAIJ bagi memantau sistem itu.

"Sistem JQTA  berada di bawah bidang kuasa MAIJ dan kita akan membantu dari segi pemantauan serta pelaksanaan sistem tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Kerjasama Wakaf antara MAIJ dan IASWJ dengan Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Mutaqqin di Bukit Pasir, di sini malam tadi.

Majlis itu dirasmikan Penasihat MAIJ, Datuk Nooh Gadut.

Abdul Razak berkata Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) pula diberi tanggungjawab untuk membangunkan sistem itu dari segi kurikulum, pengurusan fasiliti dan kewangan bagi melahirkan institusi tahfiz berkualiti tinggi.

Beliau berkata Johor mempunyai kira-kira 300 buah madrasah, namun, tidak semua menjaga kualiti dan menggunakan modul-modul yang berbeza.

Katanya, Johor merupakan negeri pertama yang melaksanakan sistem tersebut sama seperti yang dipraktikkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk memantau universiti-universiti di negara ini.

"Sistem ini seakan-akan pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kepada universiti di Malaysia, namun, JQTA yang digunakan untuk menilai madrasah tahfiz adalah yang pertama di negara ini.
"Ini bermakna, selepas ini mana-mana madrasah tahfiz yang tidak mendapat kelayakan daripada MAIJ menerusi JQTA tidak akan diberi lesen untuk beroperasi dan mungkin tidak layak menerima bantuan daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Mutaqqin yang diwakafkan kepada MAIJ dan IASWJ menjadi madrasah pertama yang akan melaksanakan sistem JQTA. 
 
 

Tiada ulasan: