MALAYSIAKINI
Tun Dr Mahathir Mohamad terus membidas pihak-pihak yang membisu
terhadap skandal 1MDB dan berpura-pura membodohkan diri dengan apa yang
berlaku.
Katanya, melihat kepada mereka yang terlibat dalam penubuhan dan
pengurusan 1MDB, seseorang boleh membuat kesimpulan bahawa mereka yang
terpilih sebenarnya adalah bodoh.
“Dan mesti ada banyak orang-orang bodoh di sekeliling. Sesetengah
mereka cepat meletak jawatan, yang lain mengambil masa yang lebih lama.
“Sesetengah mereka terpaksa diganti atau dipindahkan atau bersara.
Tetapi masalah sama yang semua mereka hidapi adalah ketidakmampuan
mereka untuk bercakap.
“Mereka juga mungkin menjadi pekak tetapi sesungguhnya mereka dalam keadaan sihat,” katanya dalam tulisan terbaru di blog.
Mengulas laporan portal pendedah maklumat Sarawak Report
yang mendakwa mempunyai akses terhadap apa yang didakwanya sebagai
laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, Dr Mahathir berkata terdapat
begitu banyak perkara jenayah dilaporkan.
“Tetapi seperti yang kita semua tahu peguam negara telah
mengisytiharkan bahawa laporan ketua audit negara tidak menunjukkan
bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan sebarang
kesalahan atau jenayah.
“Peguam negara menolak laporan ketua audit negara, tetapi beliau
kemudian menggunakan Akta Rahsia Rasmi untuk menghalang orang ramai
daripada membaca kandungannya,” katanya.
Menurut Mahathir, adalah jelas kedua-dua peguam negara dan ketua
audit negara bersama kakitangan kedua-dua jabatan berkenaan serta
anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tahu isi kandungan
tersebut tetapi mereka tidak boleh mendedahkannya.
“Menteri
Kewangan II sebelum ini meletakkan semua jawatan. Beliau tidak
menjelaskan mengapa dirinya mengambil tindakan drastik berkenaan. Beliau
akan ke Jordan belajar agama.
“Nampaknya mulutnya juga dikunci. Beliau juga menjadi bisu sekarang ini,” katanya.
Mahathir berkata keadaan negara semakin merosot tetapi tidak ada yang mengambil peduli.
Beliau seterus memberi amaran walaupun menjadi alim dan mendekati
agama, namun membisukan diri daripada mendedahkan salah laku yang
diketahui tidak akan menyelamat diri mereka.
“Hari pembalasan pasti akan tiba di mana umat Islam akan bertemu dengan Pencipta mereka.
“Mulut akan terbuka dan kata-kata akan mencurah. Agama tidak akan membebaskan kamu.
“Menunaikan Haji, terutamanya dengan wang dicuri tidak akan menebus dan membebaskan kamu daripada dosa-dosa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan