Khamis, 7 Julai 2016

Lima sayur lebih baik jika dimasak

SINAR HARIAN
Lima sayur lebih baik jika dimasak
Gambar hiasan
 
 
SAYUR-SAYURAN adalah sangat penting dan baik untuk mengekalkan kesihatan badan, minda dan emosi serta turut menyediakan khasiat buat tubuh manusia.

Selain daripada itu, sayur juga baik untuk kanak-kanak berikutan mengandungi pre-biotik yang merupakan antigen iaitu pemangkin kepada ketahanan badan serta mampu membuatkan mereka membesar dengan sihat tanpa sebarang masalah kesihatan lain.

Kandungan serat, fitonutrien dan kalium dalam sayur-sayuran dapat membantu melancarkan proses penghadaman malah turut membantu mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Kebanyakan daripada kita pastinya pernah mendengar bahawa sayur mentah adalah lebih baik berbanding sayur yang dimasak namun begitu ada di antara sayuran yang sihat apabila dimasak kerana ia dapat mencernakan struktur sel dan menjadikan badan lebih mudah untuk menyerap nutrien.

Berikut adalah beberapa jenis sayur-sayuran yang sihat apabila dimasak:
 
1) Lobak merah

Lobak merah adalah sangat baik untuk penglihatan manusia disebabkan oleh kandungan beta karotena yang tinggi. Badan manusia akan mengalami kesukaran untuk mencerna karotena mentah sekiranya lobak merah tidak dimasak.

Namun sebaliknya, jika ia dimasak, lobak merah dapat meningkatkan tahap beta karotena dan menjadikannya lebih mudah untuk di hadam oleh badan.

2) Bayam

Bayam merupakan sayuran yang kaya dengan kalsium, magnesium, lutein dan antioksidan. Pengambilan bayam secara teratur juga dapat membantu menstabilkan tekanan darah manusia.

Bayam akan memberikan khasiat yang lebih sekiranya ia dimasak kerana dapat membantu badan manusia untuk menyerap serat dengan lebih baik dan cepat.

3) Kale

Kale adalah merupakan sejenis sayuran yang mungkin kurang terkenal di negara ini. Namun, ia adalah sayuran yang sangat dikenali di negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun kerana mempunyai kandungi nutrisi sangat tinggi serta lengkap.

Selain itu, Kale juga merupakan sejenis sayuran yang tinggi kandungan kalsium, yang biasanya banyak terdapat dalam susu.

Kale adalah makanan kaya serat dan membantu untuk mengurangkan kolesterol di dalam tubuh, tetapi apabila dimasak atau dikukus fungsinya sangat berkesan.

4) Cendawan

Cendawan bukan sahaja mempunyai rasa lebih baik apabila dimasak tetapi juga lebih selamat untuk dimakan.

Cendawan mempunyai struktur sel yang sangat kuat dan dengan memasak sayuran ini ia dapat membantu dalam merangka nutrien dan membunuh mana-mana toksin dalam badan manusia.

5) Tomato

Tomato adalah sejenis sayuran yang kaya dengan ‘lycopene’ iaitu bagi membantu badan manusia untuk melawan penyakit jantung dan kanser.

Walaupun sukar untuk tubuh manusia menyerapnya apabila dimakan mentah, namun ‘lycopene’ akan lebih mudah diserap jika tomato dimasak. Tomata juga dikatakan dapat membantu mengurang dan memudarkan bintik-bintik hitam pada wajah. – indiatimes


Tiada ulasan: