Selasa, 5 Julai 2016

Lawak Najib 'pencuri', SENIMAN buat laporan polis

Zulaikha Zulkifli  


Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pelawak Singapura yang mempersenda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut setiausaha agungnya, Hafiz Nafiah, tindakan pelawak Fakkah Fuzz yang memperlekehkan perdana menteri Malaysia itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Hafiz turut meminta Jabatan Imigresen supaya mengambil tindakan tegas terhadap Fakkah dengan menyenarai-hitamkan pelawak itu daripada memasuki negara ini.

"Kita gesa imigresen sekat dan senarai-hitamkan pelawak ini.

"SENIMAN memandang serius perkara ini kerana ia boleh rosakkan hubungan diplomatik dua negara antara Singapura dan Malaysia.

"Malah ramai juga artis Singapura datang ke Malaysia untuk cari makan. Jadi, SENIMAN berpendapat, kalau nak buat nama di negara ini, buat dengan cara yang betul dan bukan publisiti murahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara hari ini.

Selain itu, Hafiz turut mengingatkan Fakkah bahawa selaku pelawak, beliau patut lebih sensitif terhadap isu-isu tertentu dan tidak membuat lawak yang 'ekstrim'.

"Pelawak tempatan pun tak ada keterlaluan ekstrim macam itu.

"Sebagai artis atau pelawak (tempatan) kita tak pernah memainkan nama pemimpin negara lain. Kenapa nak hentam pemimpin kita?" katanya lagi.

Baru-baru ini satu klip video memaparkan aksi Fakkah tersebar luas di media sosial yang memaparkannya bercerita mengenai 'perbezaan' penggunaan bahasa orang Melayu Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata: "Apabila kita ada thief, di Singapura kita panggil pencuri. Di Malaysia mereka panggil perdana menteri. Jadi ia memang sangat berbeza."

Berikutan itu Pemuda Umno Wilayah Persekutuan meminta Kementerian Dalam Negeri mengharamkan kemasukan Fakkah ke Malaysia.

Bagaimanapun, pelawak itu kemudiannya memohon maaf secara terbuka berhubung lawaknya itu.

Dalam kenyataan dibuatnya melui klip video, Fakkah berkata, dia tidak berniat jahat menuduh sesiapa terlibat dengan kesalahan sebaliknya apa yang dikatakannya hanya sebagai bahan gurauan.



Tiada ulasan: