Selasa, 19 Julai 2016

Kuasa rakyat kalahkan tentera kudeta Turki



 
Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID


UNTUK mencetuskan suatu rampasan kuasa (kudeta), beberapa orang pegawai tinggi tentera Turki daripada unit komando, angkatan tentera darat, briged pertama dan keempat, dan tentera udara telah bertindak dalam sekala besar untuk mengambilalih pemerintahan.

Mereka menguasai dua lapangan terbang dan menutup lapangan terbang yang ketiga. Strategi memisahkan Turki Eropah dan Turki Asia digerakkan. Parlimen di Angkara dibom 9 kali. Pertempuran sengit berlaku di pusat MIT iaitu agensi perisikan Turki. Gerakan itu mengguna secara maksima kekuatannya dengan kereta kebal, helikopter dan jet pejuang  F16.

Untuk mengalahkan kudeta ini, Presiden Turki mengguna iPhone. Masjid mengguna pembesar suara, menyiarkan panggilan untuk solat seawal sebelum subuh. Sebahagian adalah penentang tegar terhadap Presiden, telah menyeru kudeta itu ditamatkan. Pemimpin-pemimpin politik dari berbagai latarbelakang juga mahu kudeta itu ditewaskan. Polis telah menangkap para tentera kudeta.

Orang awam tanpa senjata menawan semula CNN Turki dan jambatan Bosphorus. Mereka secara nekad dan berani di tengah-tengah serangan balas dari tentera yang sangat sengit, menjadi benteng untuk mengembalikan demokrasi untuk negara mereka.

Jelas ini tidak syak lagi adalah sebuah kudeta tentera (military coup). Namun Duta Amerika di Angkara mengelarnya suatu "kebangkitan" (uprising).

Geopolitical Futures menyiarkan analisis dan menyatakan kudeta itu berjaya. BBC Arabic, Sky News Arabic, El-Arabiya TV, ITN diplomatic editor, US networks semuanya menyiarkan komentar yang mengatakan Erdogan telah jatuh dan telah melarikan diri ke Jerman.

The Guardian menerbitkan tajuk utama (kemudian diedit semula) mengenai ketua editor yang tidak menyembunyikan senyumannya terhadap "jatuhnya" seorang "authoritarian islamist “How Recep Tayyip Erdogan inflamed tensions in Turkey”.

Di kala rakyat Turki berjuang untuk masa depan mereka, pemimpin Barat sepi, walaupun mereka mendabik dada Baratlah yang menjuarai demokrasi. Konsulat Perancis ditutup dua hari sebelum berlaku percubaan rampasan kuasa itu. Adakah Perancis tahu sesuatu yang tidak diketahui oleh rakyat Turki?

Dalam kenyataan awalnya Setiausaha Negara Amerika, John Kerry mengguna pelbagai istilah terhadap kudeta Turki itu, tetapi tidak istilah demokrasi. Beliau mengguna kata-kata  "kestabilan, keamanan dan penerusan" di Turki.

Tidak disebut langsung mengenai menyokong presiden dan parlimen yang dipilih secara sah oleh rakyat. Hanya apabila kudeta itu jelas gagal, barulah Presiden Barack Obama dan Kerry mengeluarkan kenyataan menyokong Erdogan.

Jika anda mahu tahu kenapa Eropah dan US kelihatan malu di Timur Tengah, kenapa mereka telah hilang otoriti moral, malah tidak ada otoriti sama sekali, dan kenapa mereka tidak lagi boleh mendakwa sebagai juara perubahan demokratik, lihat sahaja bagaimana mereka mendiamkan diri selama lebih 3 jam sementara melihat ke arah mana angin akan bertiup di Istanbul dan Ankara.

Saudi pula menunggu lebih 15 jam sebelum mengeluarkan kenyataan menyokong Erdogan. Emirat dan media yang mereka kuasai menyebarkan maklumat kononnya Erdogan telah melarikan diri.

Sebaliknya kebenaran jelas di sebalik semua itu. Erdogan menaiki kapalterbang menuju ke Istanbul sedangkan beliau tahu jet F16 tentera kudeta sedang berlegar di udara dan lapangan terbang Ataturk mungkin ditutup.

Hanya tiga negara di dunia menyokong Erdogon dari awal lagi - Morocco, Qatar, dan Sudan.

Apa yang lebih menakjubkan ialah kenyataan-kenyataan ahli politik pembangkang Turki, yang mempunyai banyak alasan untuk Erdogon dijatuhkan, sedang mereka itu sendiri telah dikalahkan oleh Erdogan. Namun pemimpin parti terbesar Turki, Kemal Kalicdaroglu dari parti People's Republican Party (CHP), mengeluarkan kenyataan serta-merta menentang kudeta itu beberapa kali dalam tweet, mengatakan negara Turki telah "banyak menderita" dalam semua rampasan kuasa militari sebelum ini.

Dua pemimpin parti AKP yang liberal yang telah dipecat dan diganti oleh Erdogan, kini menyokong Erdogan. Bekas Presiden Turki, Abdullah Gul memberitahu CNN Turki bahawa  "Turki bukan negara Latin Amerika... Saya menyeru mereka yang mahu merampas kuasa, perlu kembali ke berek masing-masing".

Bekas Perdana Menteri, Turki Ahmet Davutoglu berkata kepada Al-Jazeera: "Turki adalah sebuah demokrasi... saya percaya kudeta ini akan gagal. Tidak harus ada percubaan mengancam kestabilan Turki. Kita sedang berdepan dengan krisis yang banyak di Syria dan rantau yang lain. Sudah sampai masanya membina solidariti dengan rakyat Turki... Sekarang rakyat dibeberapa kota sedang turun ke jalan raya, berada di medan menentang percubaan kudeta itu".

Semua rakyat boleh melihat apa kesepakatan Barat terhadap Erdogan yang tidak dapat dilihat oleh negara Barat. Bahawa proses adalah lebih penting dari individu. Bahawa rakyat Turki percaya atau tidak , siap bertempur dan mati untuk mempertahan hak mereka untuk memilih Presiden, walaupun majoriti tidak mahu menerima kuasa yang berlebihan kepada  Presiden.

Reaksi rakyat Turki Jumaat malam itu adalah petanda sebuah demokrasi yang matang. Reaksi Barat pula terhadap percubaan kudeta itu adalah sebuah reaksi demokrasi yang korup yang ditandai oleh rekod sejarah yang menyokong pemerintah militari dan otokratik .

Erdogan mengguna iPhone dan tersebar secara viral di media sosial. Beliau menyeru rakyat turun ke jalan raya. Mereka mendengar gesaannya dengan risiko nyawa mereka mungkin terancam.

Ternyata iPhone telah menumpaskan kereta kebal.

Turki terbukti bukan Mesir. Jika ada pengajaran yang boleh diambil oleh era hitam demokrasi di Timur Tengah, ia adalah rakyat Mesir yang kini terus terhimpit oleh pemerintah militari yang otokratik yang kononnya melalui revolusi kedua apabila Sisi merampas kuasa daripada Morsi.

Regim otokratik di rantau Timur Tengah mungkin cemas kerana kuasa demokratik rakyat boleh mengalahkan tentera, dan dengan itu mampu menjatuhkan mereka pula.

Tiada ulasan: