Selasa, 5 Julai 2016

Kenapa Tidak Ada Yang Membela Mufti Pahang Ketika Beliau Ditohmah?




Oleh Muhammad Luttfi Abdul Khalid
 

SAYA hairan tidak ada suara yang membela dan mempertahankan Sahibus Samahah Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman daripada tohmahan kononnya beliau meng”kafir harbi”kan DAP melalui satu laporan portal Malaysiakini yang memetik laporan dari Utusan Malaysia.

Seteruk-teruk Malaysiakini, portal berita tersebut mengakui bahawa laporan Utusan Malaysia TIDAK menyebut bahawa lafaz Kafir Harbi diucapkan secara terang dan eksplisit oleh Mufti Pahang.

Jadi kenapa Mufti Pahang pula yang menjadi sasaran, dan bukannya laporan Utusan Malaysia?

Isu ini tidak akan meletup dan menjadi viral sekiranya tidak diulas oleh seorang pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa, yang tanpa usul periksa atau menyelidiki kesahihan ungkapan itu yang dinisbahkan kepada mulut Sahibus Samahah Mufti Pahang, terus mempamerkan kesarjanaan beliau dengan sanggahan yang kelihatan serius dan bernilai akademik, kononnya secara tersirat seolah-olah menggambarkan Mufti Pahang sebagai pihak yang menyokong pertumpahan darah, keganasan, terrorisme dan ideologi ISIS yang menyeleweng.

Maka berduyun-duyunlah netizen segera tampil, termasuk beberapa pemimpin NGO Islamis liberal yang berorientasikan demokrat progresif yang turut "mengecam" pandangan Mufti Pahang, dengan mengulangi kesalahan pertama dalam wasilah penerimaan, pengesahan dan pemberitaan sesuatu isu iaitu tidak bertabayyun (membuat pengesahan/verification) daripada Mufti Pahang sendiri mengenai kalimat tersebut.

Disebabkan tohmahan yang secara tidak adil dinisbahkan kepada beliau, maka segala pandangan, penulisan, pendapat dan penuturan kajian pada pandangan saya, terus menjadi tidak bernilai, tempang, cacat, tercemar dan tak boleh pakai. Apa sahaja istilah atau hujah yang kamu semua lontarkan - hitam putih, kelabu, menguruskan kepelbagaian, perbezaan zaman Nabi dengan amalan demokrasi masa kini, fiqh watani ... becomes irrelevant.

Seperti biasa, isu ini sudah tentu akan diarak dan dijaja ke seluruh pelusuk alam oleh DAP, pembela-pembela, rakan karib, sekutu, rakan sejawat, cybertrooper dan para khadam kepada parti rasis cauvinis ini untuk mensasarkan Mufti Pahang secara peribadi, institusi Mufti dan secara tidak langsung Islam sendiri.

Lakonan drama air mata buaya (crocodile tears) oleh Lim Kit Siang turut melengkapkan senario membelasah Mufti Pahang dan apa yang berkait dengan Islam, termasuk tuntutan supaya beliau meminta maaf.

Kecuali segelintir sahaja daripada kalangan umat Islam yang membela beliau, Mufti Pahang dibiarkan berseorangan menghadapi kecaman, kritikan, "serangan" dan "hentaman", baik di media sosial mahupun media cetak.

[Perbincangan khusus sekitar istilah Kafir Harbi ini tidak akan disentuh di sini, sebab ia bukan fokus utama penulisan saya].

Saya tidak akan apologetik atau menyusun kalimat-kalimat yang mulus dan mesra-pembaca ketika saya katakan:

Pertama:

Kepada kumpulan Islamis liberal progresif - Ke manakah kamu semua telah campakkan slogan dan mantera Tabayyun! Tabayyun! apabila menerima sesuatu pemberitaan?

Bagaimana kamu semua boleh tiba-tiba memberi perhatian kepada perkara luaran (Form) apabila nama DAP dikaitkan dengan penentangan terhadap Islam daripada hakikat (Substance) dan sifat penentangan yang seringkali dipamerkan oleh parti rasis cauvinis itu?

Adakah kerana kamu ingin menjaga hati atau mempertahankan mereka, lantaran parti politik yang menjadi platform siasah kamu iaitu PAN adalah sekutu rapat mereka?

Atau adakah kerana kamu semua termakan budi dengan kerajaan DAP Pulau Pinang?

Di mana akhlak kamu ketika proses Tabayyun diketepikan, hingga tohmah terhinggap ke atas kewibawaan Mufti Pahang?

Shame on you!

Kedua:

Kepada para pemuda PAS dan UMNO, kenapa berdiam diri ketika Mufti Pahang ditohmah dan diserang dari segenap penjuru, dari DAP, MCA, Gerakan, daripada orang-orang yang dengki dan jahil, daripada hulubalang siber dan para penjilat mereka?

Adalah kerana kamu semua takut atau kehilangan punca untuk mempertahankan Mufti Pahang?

Atau takut kepada gabungan parti-parti politik Cina yang rasis dan cauvinis itu?

Kenapa kamu semua membiarkan Mufti Pahang bersendirian?

Bukankah beliau telah menyatakan kebenaran secara terang-terangan apa yang kamu enggan suarakan dengan lantang?

Kepentingan politik apakah dan siapakah yang kamu ingin pertahankan?

Mengapa kamu semua culas dan teragak-agak untuk menempelak dan menghentam DAP dan rakan seangkatannya sebaik-baik sahaja media membesarkan isu ini?

Di mana kejantanan dan semangat juang kamu semua?

Ketiga:

Kepada umat Islam, parti politik DAP (termasuk MCA dan Gerakan) dan yang seangkatan dengan mereka tidak akan ikhlas terhadap Islam. Sudah banyak kali umat menyaksikan berbagai-bagai bentuk penentangan terhadap Islam, institusinya dan umatnya yang datang daripada gerombolan ini, dari semasa ke semasa.

Apa sahaja isu yang melibatkan kepentingan dan kedaulatan umat Islam, merekalah antara yang terawal akan menunjukkan bantahan dan penentangan mereka.

Penentangan mereka dewasa ini bukan bersifat senjata, akan tetapi serangan mereka bersifat ideologi, pengaruh minda, mencanai pandangan umum, memecahbelahkan ukhuwwah, kesatuan dan kesepakatan umat, mengadu domba di kalangan Muslimin, menghancurkan kedaulatan umat, mengarus perdanakan agenda yang asing bagi Islam dan memesongkan tumpuan pemuda pemudi daripada ciri-ciri pembentukan jiwa pejuang yang akan mewarisi risalah Islam.

Kita perlu mengenali siapa musuh kita sebenarnya.

Tiada ulasan: