Selasa, 5 Julai 2016

Kafir harbi: Mereka salah faham kenyataan saya

Kafir harbi: Mereka salah faham kenyataan saya
Abdul Rahman mendapat sokongan daripada NGO Islam negeri ini yang hadir di Pejabat Mufti Pahang.


PEKAN - Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menganggap sebarang isu berkaitan kenyataannya berhubung kafir harbi adalah salah faham kerana tidak memahami maksud sebenar.

Abdul Rahman berkata, walaupun umat Islam perlu menentang orang kafir harbi namun  tidak bermakna kita menggunakan kekerasan dan berperang.

Sebaliknya, perlu berlawan  dengan berhemah, hujah yang tepat, perangi dengan bijaksana dan berakhlak mulia.

“Justeru, saya anggap mereka yang tidak bersetuju dengan kenyataan saya adalah mereka yang tidak faham maksud tersirat dan jangan sempitkan fikiran kita.

“Sebagai umat Islam, kita memperjuangkan agama, bukan mencari perbalahan dan memecahbelahkan antara satu sama lain,” katanya kepada media selepas perjumpaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Jabatan Mufti Pahang di sini, semalam.

Pada perjumpaan itu, sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Pahang menyatakan sokongan padu kepada beliau  yang dikecam DAP ekoran kenyataan berhubung sesiapa yang berfikiran seperti DAP adalah tergolong dalam kafir harbi.

Yang Dipertua Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah (Aswaja) Pahang , Yunan Abdul Samad yang mewakili NGO itu berkata, sokongan dibuat kerana kenyataan Mufti Pahang adalah benar.

“Itu adalah tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk menyampaikan agama Islam. Kami ucapkan syabas dan tahniah kepada mufti atas keprihatinan dan keberanian beliau dalam menyatakan pandangan,” katanya.

Selain Aswaja,  NGO yang menyatakan sokongan berdiri teguh di belakang Abdul Rahman ialah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Angkatan Sukarelawan al-Quran Pahang, Persatuan Veteran Tentera Pahang, Persatuan Perubatan Islam Pahang, Majlis Ta’lim Pahang dan Institusi Pendidikan Islam Pahang.

Berdasarkan laporan media baru-baru ini, Abdul Rahman dipetik sebagai berkata DAP yang jelas menentang pelaksanaan hukum Islam dan berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara sekular tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang umat Islam.

Abdul Rahman bagaimanapun menjelaskan kenyataannya itu tidak merujuk kepada DAP, tetapi kepada sesiapa sahaja yang menentang Islam.

Namun, kenyataan itu mendapatkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak.

Malah polis negeri telah mengambil keterangan daripada beliau berkaitan istilah kafir harbi.


Tiada ulasan: