Muhyiddin Yassin
Saya bersama dengan seluruh rakyat yang menuntut kebenaran dalam isu 1MDB mendesak kerajaan supaya mengubah (declassify)
status rahsia rasmi Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dengan
segera supaya rakyat dapat mengetahui kedudukan sebenar dakwaan
penyelewengan wang puluhan bilion ringgit dalam urus niaga syarikat
berkenaan.
Beberapa petikan yang dikatakan bersumber daripada laporan akhir
Ketua Audit Negara mengenai 1MDB seperti yang didedahkan oleh portal Sarawak Report beberapa hari lalu mengandungi maklumat-maklumat penting berkaitan penyelewengan syarikat berkenaan.
Ini termasuk kehilangan wang berjumlah AS$7 bilion (RM28 bilion) yang
dibayar kepada beberapa buah syarikat palsu yang tiada kaitan dengan
urus niaga 1MDB.
Ketika kemelut 1MDB mula dipersoalkan oleh rakyat pada awal tahun
lalu, saya telah menyuarakan kebimbangan saya di dalam kabinet dan
menyarankan supaya Ketua Audit Negara menyiasat akaun 1MDB, termasuk
melakukan audit forensik.
Siasatan Ketua Audit Negara adalah penting untuk menentukan kedudukan
sebenar akaun 1MDB dan menjawab segala tuduhan penyelewengan yang
dilemparkan terhadap syarikat berkenaan, termasuk yang melibatkan
perdana menteri.
Perdana menteri sendiri berjanji bahawa Laporan Ketua Audit Negara
mengenai 1MDB akan diumumkan dan beliau memberi jaminan bahawa individu
atau pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dan penyelewengan 1MDB
akan dibawa ke muka pengadilan.
Bagi yang mungkin terlupa akan janji perdana menteri ini, saya ingin
memetik tulisan beliau dalam portal NajibRazak.com yang disiarkan pada
bulan Mei 2015.
Beliau berkata, “adalah tidak adil bagi sesetengah ahli politik
mensabitkan kerajaan dalam mahkamah pendapat awam sebelum fakta sebenar
dikemukakan oleh pihak berkuasa yang sah iaitu Ketua Audit Negara dan
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bersifat dwipartisan...
sementara itu, tolonglah, jangan buat spekulasi dan kesimpulan, tanpa
menggunakan maklumat yang akan dibentangkan oleh Ketua Audit Negara,
yang mengandungi laporan terperinci tentang kewangan 1MDB.”
Kata Najib lagi, “Jika kita bersikap ikhlas untuk mencari kebenaran
di sebalik dakwaan itu, kita perlu mendapatkan maklumat daripada sumber
yang sah (seperti Ketua Audit Negara) dan bukan daripada portal berita
pihak ketiga atau blog dalam talian yang mungkin mempunyai agenda
tersembunyi”.
Itu kenyataan Najib lebih setahun yang lalu.
Jabatan Audit Negara telah memulakan siasatan ke atas akaun 1MDB pada bulan Mac 2015.
Laporan interim terhadap pengauditan 1MDB telah disiapkan pada bulan Jun
2015 dan laporan akhir Ketua Audit Negara telah dibentangkan kepada
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara pada bulan Mac 2016.
Malangnya, Najib telah memungkiri janjinya kepada rakyat.
Bukan sahaja Laporan Ketua Audit Negara tidak didedahkan kepada umum,
malah telah diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta
Rahsia Rasmi 1972.
Tindakan mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara sebagai dokumen
rahsia rasmi adalah aneh memandangkan Ketua Audit Negara mempunyai
tanggungjawab di bawah Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan untuk
menyerahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Laporan ini kemudiannya hendaklah dibentangkan di Dewan Rakyat.
Adakah kerajaan mempunyai kuasa melebihi kuasa yang diberikan oleh
Perlembagaan Persekutuan untuk menutup hasil siasatan Ketua Audit Negara
daripada pengetahuan rakyat?
Lebih malang, ada menteri kabinet yang melabelkan pihak yang
membocorkan kandungan laporan Ketua Audit Negara sebagai pengkhianat
negara. Siapakah pengkhianat sebenarnya?
Orang yang mendedahkan salahlaku 1MDB atau orang yang merompak wang
negara menerusi transaksi 1MDB dan kemudian menutup kesalahan mereka
daripada diketahui oleh rakyat?
Sudah tentulah merompak wang negara dan menutup perbuatan jenayah adalah suatu pengkhianatan yang amat jijik kepada negara.
Seluruh kabinet bertanggungjawab terhadap rakyat.
Mereka tidak mempunyai kuasa mutlak untuk melakukan apa sahaja semata-mata untuk melindungi keselamatan seorang individu.
Kepentingan majoriti rakyat adalah jauh lebih utama daripada keselamatan seorang individu.
Rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran. Najib telah dikaitkan
secara langsung dalam skandal 1MDB dan dia harus tampil menjawab
pertanyaan rakyat.
Tindakan berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi akan menambah syak
wasangka rakyat terhadap kredibiliti dan integriti Najib sebagai perdana
menteri.
Jika dia seorang yang benar-benar ikhlas, budiman dan berani mencari kebenaran, ubah (declassify) segera status rahsia rasmi Laporan Akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dan dedahkan hasil siasatan untuk tatapan rakyat.
Usah berdolak-dalih lagi.
Jangan berterusan menyalahkan portal berita atas talian atau media
asing kerana menyebarkan maklumat mengenai penyelewengan 1MDB.
Anda mempunyai satu laporan penting yang sah mengenai 1MDB. Dedahkan
isi kandungannya supaya rakyat dapat mengetahui fakta sebenar daripada
sumber yang sahih.
Ini adalah peluang terbaik untuk Najib dan kerajaan pimpinannya
membersihkan nama daripada pelbagai dakwaan penyelewengan dan salah guna
kuasa.
Jika Najib gagal berbuat demikian, dan berterusan menyembunyikan
kebenaran daripada pengetahuan rakyat, maka dia mesti mengambil
tanggungjawab sepenuhnya di atas skandal 1MDB dan mengambil langkah
terhormat dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
TAN SERI MUHYIDDIN MOHD YASSIN bekas timbalan perdana menteri dan bekas timbalan presiden Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan