Isnin, 11 Julai 2016

Guan Eng boleh tanding pemilihan parti, kata DAP

Kow Gah Chie


DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dalam masa beberapa minggu akan datang bagi memutuskan sama ada akan mengadakan pemilihan parti atau sebaliknya.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, jika pemilihan diadakan tahun ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng perlu melepaskan jawatan sebagai setiausaha agung.

Bagaimanapun, tambah Loke, Guan Eng masih boleh bertanding dalam pemilihan tersebut dan memegang sebarang jawatan lain selain setiausaha agung.

"Ini bukan persoalan letak jawatan, beliau masih boleh bertanding dalam CEC.

"Di bawah perlembagaan parti, (Guan Eng hanya boleh memegang) kedudukan setiausaha agung dihadkan tiga penggal. Namun, beliau masih boleh berkhidmat di bawah kapasiti lain," ujarnya semasa sidang akhbar.

"CEC akan bertemu tidak lama lagi - dalam beberapa minggu akan datang atau mungkin dalam satu, dua minggu lagi," katanya.

"Kita perlu berbincang mengenai isu ini dalam mesyuarat CEC akan datang kerana penggal sekarang akan berakhir pada 29 Sept," katanya.

Jika DAP memutuskan untuk tidak mengadakan pemilihan baru, parti itu boleh menangguhkan pemilihan selama 18 bulan sahaja, jelas Loke.



Tiada ulasan: