Sabtu, 2 Julai 2016

Derma capai sasaran, rakyat tetap mendeposit wang

 
"Saya yakin ia sebuah program yang sangat baik untuk menunjukkan sokongan kepada Guan Eng dan menterjemah kemarahan mereka."


lim-guan-eng_derma_600


KUALA LUMPUR: Walaupun derma RM1 juta wang ikat jamin Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mencapai sasaran, penduduk kawasan Puchong tetap mahu menyumbang RM10 dalam kempen yang dianjurkan oleh DAP itu.

Ini kerana, mereka yakin dana yang berlebihan akan disalurkan kepada ‘Kempen Sokong, Simpati dan Solidariti Lim Guan Eng’ yang diumumkan oleh Setiausaha Kebangsaannya, Anthony Loke Siew Fook semalam.

Wakil penduduk, Yap Chee Meng berkata walaupun diberitahu sasaran (kutipan derma) telah dicapai, peserta program tetap mahu menunjukkan sokongan.

Manakala, Lena Ng seorang pereka grafik bebas membawa dua anaknya ke kempen derma yang diadakan di Puchong Jaya supaya mereka belajar memahami hak selaku rakyat Malaysia.

“Saya menjelaskan apa yang sepatutnya menjadi hak dan apa yang sepatutnya menjadi salah. Perkara yang betul untuk dilakukan adalah untuk membantu orang yang memerlukan.

“Itu cara saya menjelaskan kepada mereka dan bukannya menggunakan aspek politik.”

ADUN Kinrara Ng Sze Han memuji sokongan yang diberikan oleh penduduk Puchong, menyifatkannya sebagai satu inisiatif bermakna.

“Mereka menjemput saya pagi ini untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap Guan Eng. Secara peribadi, saya yakin ia sebuah program yang sangat baik untuk menunjukkan sokongan kepada Guan Eng dan menterjemah kemarahan mereka.”

“Hakikat bahawa mereka sanggup meluangkan masa, mencari tempat letak kereta dan berjalan ke sini untuk mendeposit RM10 bermakna bahawa mereka sangat serius menyokong Guan Eng,” katanya.

Khamis lalu, Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari melancarkan kempen RM10 untuk mengutip derma ikat jamin Guan Eng yang berjumlah RM1 juta.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa RM890,000 telah dikeluarkan dari akaun DAP Pulau Pinang manakala baki RM110,00 datang dari ibu pejabat DAP Pusat.

Khamis lalu, Lim didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana membenarkan pengezonan semula sebidang tanah milik syarikat ahli perniagaan Phang Li Khoon, Magnificent Emblem Sdn Bhd (MESB); dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana membeli sebidang hartanah di bawah nilai pasaran.

Tiada ulasan: