Khamis, 21 Julai 2016

1MDB: Fasa kedua siasatan libatkan individu di luar negara akan bermula - KPM

 
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyampaikan sijil tamat kursus kepada Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah (dua dari kanan) pada Majlis Penutup Program Trim & Fit PDRM 2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 21 JUL 2016
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyampaikan sijil tamat kursus kepada Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah (dua dari kanan) pada Majlis Penutup Program Trim & Fit PDRM 2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR,


Polis akan merakam keterangan individu-individu di luar negara dan meneliti dokumen yang berkaitan dalam fasa kedua siasatan isu 1Malaysia Development Berhad yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Ketua Polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini fasa pertama penelitian dan rakaman keterangan saksi terhadap siasatan 1MDB hampir siap dan mengambil sedikit masa lagi untuk lengkap sepenuhnya.

Katanya dalam perkara itu, polis tidak hilang fokus dari lima cadangan berbentuk tindakan yang telah disyorkan oleh laporan penuh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pad April lalu.

"Setakat ini kita sudah merakam lebih 25 percakapan individu termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berhutang itu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi diambil keterangan Jun lepas.

"Kemungkinan saksi-saksi yang pernah diambil keterangan ini akan dipanggil semula sebagai usaha memperincikan siasatan itu lagi.

"Di fasa kedua nanti, kita akan merakam saksi-saksi yang berada di luar negara.Kita akan menghantar pegawai kita ke sana," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup Program Trim&Fit PDRM 2016 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Ditanya kenapa pasukan penyiasat polis terpaksa mengambil masa yang begitu panjang untuk menyiasat 1MDB, beliau berkata polis tidak mahu bertindak terburu-buru dalam hal tersebut.

"Kami tidak boleh terburu buru yang mana siasat hari ini dan esok lengkapkan laporan..mana boleh, merakam seorang saksi mengambil masa sehingga seminggu dua, kita kena teliti setiap keterangan," katanya lagi.

Ditanya mengenai fasa kedua, beliau berkata, fasa kedua akan bermula bila-bila masa dan sebelum itu beberapa perkara perlu diselesaikan di dalam negara dan setelah menerima isyarat dari pihak di luar negara.

"Kami tidak pergi tanpa sebarang persiapan dan merekodkan keterangan beberapa individu di luar negara, jadi sabarlah semua.

"Kami pasti akan menjalankan siasatan ini dengan cekap cuma perlukan sedikit masa untuk siasatan ini diperincikan, kalian tidak boleh tekan kami, banyak dokumen perlu diteliti," ujarnya lagi.

Beliau juga menegaskan apa jua yang disyorkan dalam laporan Audit Negara itu terdapat dalam laporan PAC dan menggesa orang ramai jangan percaya kepada laporan Sarawakreport kononnya memiliki laporan itu.

"Kita lupa bahawa laporan AG dibentang dalam PAC dan disyorkan lima cadangan itu. tapi sikap Sarawak Report macam rumah dah siap pahat berbunyi, mas bentang tak nak soal sekarang tanya macam-macam..sengaja nak huru-harakan keadaan," tegasnya lagi. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: