Selasa, 13 Oktober 2015

SOKONG SOSMA SEMASA DALAM KERAJAAN TIDAK BERERTI SETUJU IA DISALAHGUNAKAN

shahbudindotcom

 
 
 
Apabila Muhyiddin Yassin termasuk dalam senarai tujuh pemimpin yang mengeluarkan kenyataan bersama mengecam penggunaan undang-undang Sosma kepada penentang kerajaan, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan pantas melakukan kritikannya terhadap Timbalan Presiden UMNO itu.

Dalam hujahnya, beliau mengingatkan bahawa Muhyiddinlah yang ketika itu Ketua Whip BN yang bersungguh-sungguh memastikan semua wakil rakyat parti itu mengundi bagi kelulusan Sosma di Parlimen.

Menulis di twitternya, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, "Sosma adalah lebih baik daripada ISA. Malah bekas Ketua Whip BN, TSMY memastikan semua Ahli Parlimen BN termasuk Ahli Parlimen Semporna mengundinya di Parlimen."

Abdul Rahman turut mempertahankan Sosma yang menurutnya lebih memberi peluang kepada pesalahnya melihat nasib mereka ditentukan di mahkamah berhanding ISA, selain menyindir pemerintahan 22 tahun Tun Mahathir Mohamad yang penuh warna warni serta menimbulkan "budaya ketakutan yang tidak dinafikan".

Semalam Tun Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal, Tun Ling Liong Sik, Ong Tee Keat dan Sanusi Junid mengeluarkan kenyataan bersama mengecam penahanan Khairuddin Abu Hassan dan Mathias Chang di bawah Sosma yang dianggap suatu bentuk penyalahgunaan kuasa dan tindakan terdesak mendiamkan pengkritik.

Seiring dengan kenyataan bersama itu juga memperlihatkan Tun Mahathir dan Ku Li sudah duduk semeja dan seakan terus sehati sejiwa dalam fasa-fasa berikutnya untuk melakukan tekanan bagi pengunduran Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Apa yang Pengarah Strategik BN itu perlu faham dan hadam betul-betul ialah ketujuh-tujuh yang menentang Sosma itu kerana wujud unsur penyalahgunaan kuasa dan undang-undang itu dilakukan semata-mata untuk mendiamkan pengkritik Perdana Menteri.

Sosma yang digubal untuk menangani ancaman keganasan dan terrorisme, secara akal loginya tidak wajar dikenakan kepada seseorang yang hanya membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan terhadap 1MDB.

Membuat laporan kepada pihak berkuasa, sama ada di dalam mahu pun di luar negara, bukanlah suatu bentuk keganasan atau ancaman kepada keselamatan negara kerana ia hanya merupakan satu tindakan mencari kebenaran terhadap 1MDB yang mungkin turut melakukan kesalahan di negara-negara terbabit.

Khairuddin dan Mathias barangkali boleh dianggap bersubahat dengan pengganas dan mengancam keselamatan negara jika mereka melaporkan mengenai 1MDB kepada kumpulan pengganas yang tidak diiktiraf seperti IS atau mana-mana kumpulan kiri dan haram di negara -negara Barat.

Ini mereka hanya membuat laporan kepada pihak polis di beberapa negara dan FBI saja, jadi apa masalahnya?

Kenapa kita rasa terancam bila laporan dibuat kepada pihak berkuasa keselamatan yang sah di luar negara? 

Kalau ada asas terhadap laporan itu, biarlah siasatan dijalankan? Kenapa sudah rasa tergugat dengan sekadar laporan polis, sedangkan penyiasatan mungkin dilakukan dan mungkin tidak?

Peranan Muhyiddin selaku Ketua Whip semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri hanyalah untuk memastikan undang-undang itu diluluskan yang ketika digubal jelas tujuan dan matlamatnya, tetapi ia tidak bererti bersetuju jika ia disalahgunakan.

Apa yang berlaku, berdasarkan hujah-hujah dalam kenyataan bersama itu, Sosma jelas telah disalahgunakan terhadap Khairuddin dan Mathias berbanding dengan tujuan asal undang-undang itu diluluskan di Parlimen.

Mengecam Sosma kerana percaya ia disalahgunakan, walaupun oleh orang yang pernah berperanan penting meluluskannya adalah jauh lebih terpuji berbanding mereka yang terus mempertahankan penahanan Khairuddin dan Mathias yang ternampak seperti membenarkan Sosma sewenang-wenangnya diselewengkan.

Dalam pada itu, baik ketika pentadbiran Tun Mahathir atau pemimpin sebelum dan selepasnya di mana ISA masih berkuatkuasa, tidak pernah ada sesiapa ditahan hanya semata-mata kerana membuat laporan polis mengenai sesebuah anak syarikat milik kerajaan.

Dalam semua penahanan yang dilakukan ketika itu, ia dilakukan dengan alasan yang lebih besar dan ada ancamannya kepada keselamatan negara berbanding individu kerdil yang hanya sekadar pergi ke balai polis seorang diri membuat laporan dan minta dilakukan siasatan.
 
 
 

Tiada ulasan: