Ahad, 11 Oktober 2015

Polis siasat dakwaan penemuan bangkai pesawat dipercayai MH370 di selatan Filipina

THE MALAYSIAN INSIDER




Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya akan memanggil seorang lelaki yang membuat laporan polis berkenaan penemuan bangkai pesawat kononnya milik Malaysia di sebuah pulau di selatan Filipina bagi mendapatkan maklumat lanjut. – Gambar fail Reuters, 10 Oktober, 2015.Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya akan memanggil seorang lelaki yang membuat laporan polis berkenaan penemuan bangkai pesawat kononnya milik Malaysia di sebuah pulau di selatan Filipina bagi mendapatkan maklumat lanjut. – Gambar fail Reuters.
 
 
 Polis Sabah masih menyiasat kesahihan kandungan laporan polis berkenaan penemuan bangkai pesawat kononnya milik Malaysia di sebuah pulau di selatan Filipina.
 
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya akan memanggil seorang lelaki yang membuat laporan itu di Balai Polis Sandakan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Pihak Cawangan Khas akan menyoal pengadu untuk mendapatkan butiran terperinci. Setakat ini, polis Sabah belum dapat memastikan kesahihan maklumat dalam laporan itu," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, malam ini.

Beliau berkata seorang lelaki bernama Jamil Omar membuat laporan polis dengan mendakwa ibu saudaranya menemui satu bangkai pesawat di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina. 
 
"Ibu saudara Jamil mendakwa dalam pesawat itu terdapat banyak rangka manusia selain menjumpai sehelai bendera Malaysia berukuran 70 inci panjang dan 35 inci lebar," katanya.

Bagaimanapun, Jalaluddin berkata pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada laporan yang diterima itu benar ataupun palsu.

Dalam laporan itu, lelaki berusia 40-an itu mendakwa ibu saudaranya yang berasal dari Tawi-Tawi itu menemui bangkai pesawat berkenaan yang dipercayai MH370 di pulau itu pada awal September lepas.

Pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal. – Bernama
 
 

Tiada ulasan: