Isnin, 19 Oktober 2015

Isu ringgit dan 1MDB: Mustafa pertahan Zeti

SINAR HARIAN



 Zeti Akhtar Aziz
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.


KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini membidas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas ucapannya yang mengelirukan, membabitkan kenyataan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengenai penyusutan ringgit dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam perbahasan hangat mengenai syarikat pembangunan strategik itu dan pembentukan semula Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini, Guan Eng (DAP-Bagan) memetik Gabenor Bank Negara itu sebagai berkata, bahawa jika isu 1MDB tidak diselesaikan, ia boleh menjurus kepada krisis ekonomi.

"Gabenor Bank Negara sendiri berkata bahawa jika masalah 1MDB tidak diselesaikan, ekonomi Malaysia tidak akan pulih. 1MDB punca krisis ekonomi negara," katanya.

Mustapa (BN-Jeli) bangun mempertahankan Zeti dan meminta Guan Eng membetulkan kenyataannya.

"Itu tidak benar. Saya minta Bagan tarik balik kenyataan itu. Gabenor tidak menyatakan bahawa 1MDB merupakan sebab utama... saya tahu kerana saya ada di dalam panel tersebut," kata Mustapa di Dewan Rakyat hari ini.

Pertikaman lidah berlaku sebelum Guan Eng menukar kenyataannya dan menegaskan 1MDB merupakan antara faktor yang menjejaskan ekonomi negara.

Mustapa kemudiannya menjawab mengatakan: "Bagan sebut sebab utama kejatuhan mata wang adalah 1MDB. Saya minta dia berlaku adil kepada gabenor Bank Negara."

Semasa forum bagi mengumumkan kedudukan ekonomi Malaysia anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) pada September, Zeti menyebut bahawa Malaysia perlu membangunkan kekuatan dan daya tahannya sendiri bagi menangani ketidaktentuan di China dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, faktor yang menjejaskan ringgit sebahagian besarnya disebabkan oleh perkembangan ekonomi dunia. - Bernama


Tiada ulasan: