Ahad, 25 Oktober 2015

Ambil iktibar cara presiden tangani kritikan, istiqamah dengan perjuangan Islam - Khalil

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
KOTA BHARU: Sebagai anak kepada pemimpin utama parti, Mohammad Khalil Abdul Hadi meminta semua pihak yang berada di dalam atau di luar PAS bijak dalam menilai dan menangani sesuatu keadaan.
 
Khalil berkata secara fitrahnya manusia tidak selesa dengan perasaan yang negatif, dan situasi itulah yang terpaksa beliau hadapi apabila bapanya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dicemuh atau dikritik sama ada dari pihak kawan atau lawan.
 
"Sudah tentu sebagai seorang manusia fitrahnya kita tidak suka apabila ada yang menuduh, mencemuh dan berkata macam-macam. 
 
"Tetapi apabila dididik dengan Islam, baca kisah nabi-nabi dan lihat mereka lalui ujian lebih dasyat daripada kita. Pentingnya kita nilai dengan betul dan istiqamah dengan perjuangan," katanya.
 
Ditemui dalam satu wawancara khas bersama Antarapos, Khalil menambah, beliau bagaimanapun sudah bersedia dengan jatuh bangun dalam politik, apatah lagi perjuangan Islam yang dibawa PAS sendiri tidak disenangi oleh sesetengah pihak. 
 
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu berkata adalah penting untuk ahli-ahli parti bersatu hati dan sentiasa berpegang kepada amalan Islam.
 
Malah sikap Hadi yang tenang dalam menghadapi tentangan daripada DAP suatu ketika dahulu perlu dijadikan iktibar ahli-ahli parti sebagai salah satu strategi dalam berpolitik.
 
"Apabila kita terlibat dengan politik, kena kena bersedia untuk dikritik, difitnah, diperlakukan dengan hal yang tidak elok. Itu asas dalam politik, khususnya dalam politik hari ini yang jauh dari nilai-nilai akhlak dan moral yang diajar oleh Islam. 
 
"Sudah tentu kita tidak mahu hal itu berlaku. Namun penting adalah bagaimana kita menilai dan rakyat sendiri menilainya. Bukan sekadar mendengar dan membaca, namun menilai sikap yang diambil oleh Presiden PAS dalam menangani tohmahan dan fitnah yang dilemparkan," tegasnya lagi.
 
Hadi sebelum ini dikecam hebat oleh DAP lantaran pendirian tegasnya untuk melaksanakan hukuman hudud di Kelantan.
 
Ia tidak disenangi oleh DAP, yang ketika itu merupakan sekutu PAS di dalam Pakatan Rakyat (PR), sehingga mengambil keputusan memutuskan kerjasama bersama parti itu dan membawa kepada berakhirnya kerjasama gabungan parti-parti pembangkang.
 
Malah, kekalahan kumpulan progresif PAS di dalam pemilihan parti Jun lalu menjadi kemuncak kepada pertembungan pihak profesional dan ulama yang kemudiannya menyaksikan tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah).
 
Amanah yang dipimpin bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tidak henti-henti menyerang kepimpinan PAS yang dikatakan sudah tidak relevan dengan perkembangan politik semasa negara.
 
Pemimpin parti itu yang sebelum ini diketahui mesra-DAP akhirnya menyertai Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP, meninggalkan PAS yang berjuang bersendirian. 


Tiada ulasan: