PETALING JAYA, Kepimpinan Umno Selangor diingatkan supaya bergerak aktif sebagai ‘pembangkang’, bagi menarik kembali sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN), sekali gus menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.


Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin dan ahli parti saling hormat-menghormati, untuk mengukuhkan Umno bagi menebus kekalahan di Selangor.

“Tidak ada orang lain yang boleh memenangkan Umno di Selangor, melainkan ahli-ahli sendiri.

“Untuk itu, ahli Umno perlu berfikir sebagai pembangkang, bertindak sebagai parti pembangkang bagi mengembalikan sokongan rakyat (terhadap BN),” katanya yang dipetik Bernama ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, malam tadi.

Naib Presiden Umno itu berkata, sokongan dan dokongan kepada BN perlu, bagi membentuk kerajaan baru di Selangor untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Sementara itu, perwakilan Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan kecewa dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyertai perhimpunan Bersih 4.

“Umno Bahagian menyanjung dan menghormati Tun Mahathir. Ini sepatutnya tidak berlaku.

“Saya amat kecewa dan kita tidak setuju seorang pemimpin negara seperti Tun bersekongkol dengan kumpulan parti yang hendak menghancurkan negara kita, hanya kerana beliau tidak setuju dengan pemimpin utama Umno.

“Perkara ini seharusnya tidak berlaku. Cantiknya Tun Mahathir kerana beliau telah membina Malaysia, malang sekali endingnya tidak cantik sama sekali,” kata Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Raja Datuk Hanipudin Raja Datuk Nong Cik.