Jumaat, 4 September 2015

TMJ: FAM henti bodoh sombong, pecat Dollah Salleh

 
Baginda sedia membantu mendapatkan peruntukan untuk pasukan Malaysia menggunakan khidmat jurulatih luar.



TMJ-FAM


PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dinasihatkan supaya berhenti berperangai bodoh sombong setelah pasukan Malaysia dibelasah 10-0 oleh pasukan Emeriah Arab Bersatu (UAE), Khamis lalu.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Johor, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah sudah masanya pasukan Malaysia menggunakan jurulatih luar.

Katanya, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) juga sedia membantu mendapatkan bajet untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar yang lebih berkelayakan untuk membimbing pasukan Malaysia.
“Tolong sampaikan kepada Presiden FAM. Cukup-cukuplah kita berperangai bodoh sombong.

“Pecat Dollah secepat mungkin dan cuba memperbaiki apa yang kita mampu sebelum imej bolasepak tanah air semakin hancur,” katanya di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail turut menyarankan ahli jawatankusa dalam FAM yang tidak mempunyai fungsi terhadap pembangunan bola sepak Malaysia supaya bercuti panjang.

“Mana-mana ahli jawatankuasa dalam FAM yang telah lama tetapi tidak berfungsi, lebih baik bercuti panjang sahajalah.

“Jikalau kepala tak betul, ekor pun tak betul,” katanya

Dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 itu UAE telah berpesta gol apabila menewaskan Malaysia 10-0.

Tiada ulasan: