Ahad, 6 September 2015

Tindakan keras hanya menambahkan sokongan terhadap Bersih



Oleh Hazlan Zakaria 


Seperti yang telah diingatkan ramai, apa-apa pujian terhadap ‘anggota beruniform biru’ atas tindak profesional mereka ketika perhimpunan (yang tidak boleh dinamakan) hujung minggu lalu tidak akan bertahan lama, selagi mereka kekal di bawah naugan kerajaan hari ini.

Ini boleh dibuktikan dengan campur tangan pihak eksekutif dalam perjalanan kakitangan Cawangan Khas (SB) dan sebuah lagi badan penguatkuasaan dalam siasatan mereka terhadap individu berprofil tinggi baru-baru ini.

Memang, apa-apa merit yang diberikan atas tindakan cemerlang polis dalam mengendalikan perhimpunan itu hilang tidak lama kemudian, melalui penggunaan Kanun Keseksaan untuk memanggil penganjur Bersih 2.0 untuk soalsiasat.

Tujuh pemimpin Bersih 2.0, termasuk pengerusi Maria Chin, telah dipanggil ke Bukit Aman untuk merakamkan kenyataan bagi siasatan di bawah Seksyen 124C dan Seksyen 141 yang dibaca bersama Seksyen 120 Kanun Keseksaan.

Seksyen 124C atas dakwaan menjalankan kegiatan yang mengancam demokrasi berparlimen atau membuat persediaan bagi kegiatan yang menyebabkannya.

Seksyen 141 pula atas dakwaan mengadakan perhimpunan haram dan Seksyen 120 kerana merancang menyembunyikan kegiatan yang salah.

Perkembangan hal ini akan bergantung kepada sama ada polis akan turut bersikap profesional dalam siasatan, sama seperti apa yang ditunjukkan ketika perhimpunan.

Jika mereka kembali kepada taktik kekerasan seperti dulu, kita boleh mengandaikan bahawa polis kekal sebagai alat penguasa.

Namun jika mereka melayan pimpinan Bersih 2.0 sama seperti layanan lembut mereka kepada penganjur himpunan pro-kerajaan sebelumnya, kita boleh mengatakan yang polis hanya menjalankan tugas seperti biasa.

Namun pujian tetap perlu diberikan kali ini kerana mereka tidak lagi membuat serbuan untuk menahan aktivis dan politikus pembangkang seperti sebelum ini.

Namun kita masih tidak tahu sama ada polis akan menahan mereka yang terlibat dan mereman pimpinan Bersih 2.0, seperti apa yang mereka dilakukan sebelum ini kepada penganjur acara yang mengkritik kerajaan.

Apa-apa pun, penganjur perhimpunan perlu tahu apabila mereka bertukar daripada kumpulan pro-reformasi pilihanraya kepada kumpulan pendesak, tindakan dan sikap penguasa terhadap mereka juga turut akan berubah.

Kini parti pemerintah akan melihat mereka sebagai ancaman yang lebih besar. Ini kerana berbanding menggesa reformasi pilihanraya, mereka kini bergerak untuk tindakan politik. Walaupun ia di bawah ruang lingkup demokrasi, ia akan dilihat sebagai ancaman oleh kerajaan yang memang sudah terdesak.

Apatah lagi apabila penganjur membenarkan slogan politik, tindakan memburukkan tokoh politik (yang kebal daripada kritikan) serta laungan kombatif sepanjang perhimpunan aman 34-jam itu.

Maka logiklah jika penguasa akan menjadi bertambah keras kerana mereka dikenali sebagai takut untuk kehilangan kuasa.

Apa-apa langkah untuk mengenakan tindakan keras terhadap Bersih 2.0 mungkin akan memberikan kesan yang berlawanan.

Selepas anti-klimaks perhimpunan aman tersebut, apa-apa langkah menindas hanya akan menambahkan sokongan kepada gerakan itu yang sudah terbukti aman.

Malah jika penguasa hanya menyentuh rambut pemimpin gerakan itu sahaja pun, mereka akan menyaksikan laungan sokongan yang mungkin akan melangkaui sempadan bandar yang sebelum ini di luar jangkauan Bersih.

Bukankah baru minggu lalu Merdeka Centre menyiarkan hasil pungutan suara mereka yang menunjukkan walaupun ramai rakyat Malaysia masih percaya yang kerajaan “paling tahu” dalam soal keharmonian, mereka tetap mahu kerajaan turut patuh kepada undang-undang.

Dalam kes ini, jika penguasa bertindak, atau kelihatan bertindak, seperti sebuah regim kukubesi tanpa mempedulikan undang-undang, tindakbalasnya mungkin lebih hebat daripada sokongan moral yang diterima Bersih 2.0.

Komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis hazlan@hckmedia.com - bm.theantdaily.com

Tiada ulasan: