Isnin, 7 September 2015

Tidak wujud paksaan, keluarlah

Tidak wujud paksaan, keluarlah
Johari (tengah) selepas menyampaikan ceramah sesi kedua di Medan Ilmu, Kota Bharu.


KOTA BHARU - “Tidak perlu takut, takut pada apa? Kalau rasa berani, pergi (keluar) sahajalah,” kata Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Senator Datuk Dr Johari Mat secara ringkas menjawab dakwaan wujud wakil rakyat Pas yang takut untuk berhijrah kerana bai’ah yang dilafazkan.

Menurutnya, tidak wujud sebarang paksaan atau untuk menakut-nakutkan mana-mana wakil rakyat dan pemimpin Pas sehingga memaksa mereka terus berada di dalam parti Islam itu.

Sebaliknya, beliau turut berpendapat, jika langkah perjuangan baharu yang dipilih itu lebih diyakini betul, maka buatlah keputusan sebaik mungkin tanpa sebarang paksaan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Pengerusi Parti Pekerja Malaysia, Mohamad Sabu atau Mat Sabu mengakui ramai wakil rakyat dan pemimpin Pas berhasrat untuk menyertai Parti Pekerja Malaysia, namun terpaksa menangguhkan seketika penghijrahan tersebut kerana masih ‘takut’ dengan bai’ah talak tiga yang dilafazkan.

Kelmarin, Ahli Jawatankuasa Parti Pekerja Malaysia yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli juga menegaskan beliau telah merujuk soal bai’ah itu dengan beberapa ulama termasuklah di luar negara bagi mendapat pencerahan dan pendapat lebih jelas.


Namun, Johari ketika diminta mengulas isu tersebut hanya memberi jawapan ringkas bahawa Mohd Hatta telah mendapatkan pendapat ulama sebagaimana sepatutnya.

“Sudah tanya semua ulama dunia kan, saya tidak mahu komen. Cuma pendapat saya, kalau benar, tidak perlu takut, kalau tak benar, patutlah kalau nak takut pun,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Hakim Mahkamah Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad mengesahkan perkahwinan Mohd Hatta dengan isterinya bercerai talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah Pas negeri itu.


Tiada ulasan: